Seorang terbunuh, 17 cedera dalam letupan di Kabul


Seorang terbunuh manakala 17 yang lain cedera dalam tiga letupan berturut-turut di Kabul. – Gambar fail The Malaysian Insight EPA, 2 Jun, 2019.

SEORANG terbunuh manakala 17 yang lain cedera dalam tiga letupan berturut-turut di Kabul, kata pegawai Afghanistan hari ini.

Antara yang cedera adalah seorang wartawan Afghanistan yang sedang membuat siaran langsung insiden letupan pertama apabila bom kedua meletup.

Bom berkenaan didakwa diletakkan di bawah bas yang membawa pegawai ke Universiti Pendidikan Kabul, kata jurucakap Kementerian Dalaman Nasrat Rahimi.

“Secara keseluruhan, seorang orang awam maut dan 17 yang lain termasuk seorang wartawan tempatan dan lima anggota keselamatan Afghanistan cedera,” katanya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Wahidullah Mayar mengesahkan kejadian yang berlaku.

Menurut satu video yang dikongsi di media sosial, wartawan itu terkena bom di kakinya.

Tahun lepas, sembilan wartawan termasuk jurugambar utama AFP Kabul Shah Marai terbunuh dalam satu letupan sekunder selepas bergegas ke lokasi letupan awal. – AFP, 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen