Ani Yudhoyono selamat dikebumi di makam pahlawan


Jenazah Ani Yudhoyono, isteri bekas presiden Indonesia keenam Susilo Bambang Yudhoyono selamat dikebumikan di Taman Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta Selatan, lebih kurang pukul 3 petang tadi (waktu Indonesia). – Gambar EPA, 2 Jun, 2019.

JENAZAH Ani Yudhoyono, isteri bekas presiden Indonesia keenam Susilo Bambang Yudhoyono selamat dikebumikan di Taman Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta Selatan, lebih kurang pukul 3 petang tadi (waktu Indonesia).

Ani, 66, dikebumikan dalam upacara penuh istiadat tentera yang dipimpin oleh Presiden Joko Widodo dan disertai dua lagi bekas presiden BJ Habibie dan Megawati Soekarnoputri.

“Marilah kita lepas ibu hajjah Kristiani Yudhoyono menghadap Allah dengan tenang dengan diiringi doa semoga Allah mengampuni segala silap dan salah beliau,” kata Jokowi melepaskan jenazah ke tempat istirahat terakhir.

Upacara pemakaman itu disiarkan secara langsung melalui televisyen di Indonesia.

Dalam ucapan ringkasnya, Jokowi turut merakamkan penghargaan atas sumbang bakti Ani kepada bangsa dan negara yang akan sentiasa dikenang seluruh rakyat Indonesia.

“Flamboyan telah pergi namun akan tetap hidup di hati kita semua rakyat Indonesia yang mencintainya.

Jenazah Ani Yudhoyono, isteri bekas presiden Indonesia keenam Susilo Bambang Yudhoyono dikebumikan dalam upacara penuh istiadat tentera yang dipimpin oleh Presiden Joko Widodo dan disertai dua lagi bekas presiden BJ Habibie dan Megawati Soekarnoputri. – Gambar EPA, 2 Jun, 2019.

“Saya mengajak bangsa Indonesia untuk mengucapkan terima kasih atas darma bakti dan mendoakan almarhumah semoga almarhumah diberikan tempat yang terbaik di sisi Allah,” katanya.

Ani meninggal dunia setelah dirawat di Hospital Universiti Nasional di Singapura sejak Februari lalu kerana kanser darah.

Jenazahnya diterbangkan pulang ke Jakarta malam tadi dan ditempatkan di kediaman keluarga Puri Cikeas di Bogor untuk penghormatan terakhir sehingga pagi tadi.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Zainal Abidin Bakar mewakili kerajaan menyampaikan ucap takziah di Puri Cikeas atas pemergian bekas ibu negara ini.

Jenazah disembahyangkan oleh naib presiden yang baru dipilih Ma’ruf Amin sebelum dibawa untuk dikebumikan di Kalibata.

Makam Ani terletak betul-betul berhadapan dengan makam Hasri Ainun Habibie, isteri Habibie yang meninggal pada 2010.

Susilo pertama kali mengumumkan berita isterinya diserang kanser dalam satu sidang media di Singapura pada 13 Februari lalu.

Beliau kemudian menarik diri dari sebarang kegiatan kempen pemilihan presiden untuk memberi perhatian kepada isterinya di hospital. – 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen