PIHAK berkuasa Tunisia semalam menghalang 75 pendatang yang diselamatkan di laut dari mendarat di pantainya, menurut sebuah kumpulan hak asasi dan kapten kapal yang menyelamatkan mereka.
Menurut kapten kapal yang enggan dikenali, pendatang terbabit hanyut di perairan antarabangsa dalam sebuah bot dengan enjin rosak apabila sebuah kapal tunda Mesir mengambil mereka.
Selepas memaklumkan pihak berkuasa di Itali dan Malta, kru menuju ke pelabuhan selatan Tunisia di Zarzis di mana pihak berkuasa enggan membenarkan kapal berlabuh.
“Kami dalam keadaan kritikal, kami ada hampir 100 pendatang di atas kapal dan bekalan air serta makanan hanya cukup untuk dua hari,” katanya.
Pertubuhan hak asasi Tunisia, FTDES berkata gabenor serantau menuntut sokongan kerajaan sebelum menerima pendatang terbabit susulan peningkatan ketibaan baharu dari negara jiran Libya beberapa bulan lalu.
Pihak berkuasa Tunisia tidak bertindak balas terhadap permintaan AFP untuk memberi komen.
Kru kapal tunda menyelamatkan 64 warga Bangladesh, sembilan Mesir, seorang Maghribi dan seorang Sudan yang berlepas dari Zuwara di barat Libya.
Bulan lepas kira-kira 60 pendatang majoritinya dari Bangladesh lemas di luar pantai Tunisia selepas meninggalkan Libya menaiki bot ke Eropah. – AFP, 2 Jun, 2019.
Komen