Polis rampas 436kg kokain dalam kapal layar di Polynesia


Pemeriksaan awal mendapati terdapat ruang dalaman yang menempatkan 341 bata dan bungkusan kokain dengan berat kira-kira 341 kilogram, kata pendakwaraya Herve Leroy. – Gambar EPA, 2 Jun, 2019.

POLIS merampas sebanyak 436 kilogram kokain yang disembunyikan dalam sebuah kapal layar di perairan Polynesia Perancis dan berjaya menahan empat orang lelaki, kata pendakwa raya Papeete.

Pegawai-pegawai polis memasuki bot tersebut di Apataki, berdekatan kepulauan Tuamotu di timur Tahiti, selepas mengesan kapal suspek yang berlayar dari Panama dengan penumpang warga Itali dan Peru seramai empat orang.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat ruang dalaman yang menempatkan 341 bata dan bungkusan kokain dengan berat kira-kira 341 kilogram, kata pendakwaraya Herve Leroy.

Kapal layar berukutan 15 meter (50 kaki) dibawa kembali ke Papeete, ibu kota Polynesia, Perancis dan pemeriksaan lanjut mendapati lebih banyak dadah yang dimuatkan dalam kapal tersebut, dengan jumlah keseluruhan mencecah 436 kilogram.

Empat lelaki yang ditangkap kini ditahan reman. Mereka mungkin berdepan hukuman 30 tahun penjara dan denda sebanyak US$8.4 juta jika disabitkan kesalahan.

“Jumlah dadah yang dirampas dan dimensi antarabangsa penyeludupan dadah tersebut bermakna kes itu akan dihantar ke Paris,” kata Leroy.

Terdapat beberapa rampasan kapal layar yang membawa muatan dadah di perairan Polinesia beberapa tahun kebelakangan ini, di samping tangkapan krew bagi enam kapal layar yang dirampas sejak 2016.

“Ini mengesahkan bahawa Polinesia Perancis dikenal pasti sebagai titik persimpangan laluan laut yang digunakan pengedar dadah dari Amerika Latin untuk menjual kokain mereka di negara-negara zon Pasifik, atau di Asia,” kata Leroy.

Pada tahun 2017 angkatan laut Perancis merampas 1.46 tan kokain yang dimuatkan ke dalam sebuah kapal layar di wilayah Pasifik, New Caledonia. Ia sedang menuju ke Australia ketika ditahan, di mana harga tinggi menjadikannya destinasi menarik bagi penyeludup dadah. – AFP, 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen