PERBICARAAN Najib Razak minggu lepas berhubung dana melibatkan SRC International menyaksikan saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas perdana menteri itu “sangat susah hati” pada 2015 apabila mendapati sejumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.
Wang itu adalah dari cabang tanggungjawab sosial korporat SRC International.
Dr Shamsul Anwar Sulaiman yang merupakan pengarah urusan Ihsan Perdana baru sahaja dibebaskan dari ditahan dan disoal siasat selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan 2015 selepas pihak berkuasa menjalankan siasatan dan serbuan.
Dr Shamsul memberitahu mahkamah bahawa dia kemudian bertemu Najib di kediaman persendiriannya di Jalan Langgak Duta Kuala Lumpur dan memaklumkan dana dari SRC International telah masuk ke dalam akaun bank perdana menteri berkenaan ketika itu.
Apabila disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Shamsul berkata Najib susah hati apabila wang itu disalurkan ke akaun peribadinya (RM42 juta dalam dua akaun AmBank).
Bagaimanapun apabila disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Dr Shamsul berkata walaupun terdapat pendedahan, tiada arahan daripada Najib atau sesiapa yang membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut mempersoalkan Ketua Eksekutif Kumpuan Wang Persaraan (KWAP) Azian Mohd Noh mengenai perbezaan keterangannya berhubung cadangan pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada SRC International pada 2011 yang kemudiannya menjadi RM2 bilion pada Ogos 2011.
Dalam kenyataannya, Azian berkata beliau mengiringi Pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah bertemu Najib, yang ketika itu menjadi perdana menteri di pejabatnya di Putrajaya.
Mesyuarat itu adalah untuk memberitahu Najib bahawa panel pelaburan KWAP memutuskan ia hanya akan meluluskan pinjaman sebanyak RM1 bilion walaupun SRC International memohon RM3.95 bilion.
Bagaimanapun, dalam perenggan yang berikut, Azian berkata Pembantu Naib Presiden Jabatan Pendapatan Tetap KWAP Amirul Imran Ahmat menyediakan kertas pelaburan untuk pinjaman RM2 bilion kepada SRC International.
Azian memberitahu Nazlan bahawa beliau tidak dapat mengingati urutan peristiwa yang membawa kepada jumlah pinjaman meningkat dari RM1 bilion hingga RM2 bilion.
“Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa pada mesyuarat panel pelaburan yang berikutnya Tan Sri Wan meminta saya memaklumkan kepada panel pelaburan bahawa perdana menteri telah menyuruh KWAP mempercepatkan pinjaman itu dan jumlah RM2 bilion sudah cukup,” katanya.
Azian juga memberitahu mahkamah dia bertemu dengan Azlin Alias, pegawai khas Najib pada Jun 2011 untuk menerima surat permohonan pinjaman RM3.95 bilion.
“Saya dihubungi oleh pejabat Azlin untuk berjumpa di lobi hotel di KL Sentral Kuala Lumpur. Saya ke hotel pada waktu malam selepas kerja,” katanya.
Azlin meninggal dunia pada 2015 dalam nahas helikopter yang turut mengorbankan bekas menteri Jamaluddin Jarjis yang merupakan rakan rapat Najib.
Surat bertarikh 3 Jun 2011 itu mempunyai nota tulisan tangan Najib berkata “bersetuju dengan cadangan ini”.
Pinjaman kedua RM2 bilion kemudian diluluskan selepas KWAP menerima jaminan kerajaan dari Kementerian Kewangan pada 28 Mac 2012.
Azian berkata, dua pinjaman kepada SRC International berjumlah RM4 bilion adalah jumlah terbesar yang pernah diluluskan oleh KWAP. – 2 Jun, 2019.
Komen