BINTANG bola sepak Neymar telah dituduh merogol seorang wanita di sebuah hotel di Paris, lapor media Brazil semalam.
Menurut aduan yang difailkan kepada polis Sao Paolo dan dilaporkan oleh laman web UOL dan GloboEsporte, bintang Paris Saint-Germain itu dituduh “menggunakan keganasan untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa tanpa persetujuannya”.
Sekretariat keselamatan Sao Paulo tidak akan memberikan satu salinan aduan kepada AFP tetapi hanya mengesahkan satu laporan sudah difailkan.
Wanita tidak dikenali yang tinggal di Brazil dikatakan berkenalan dengan Neymar menerusi Instagram dan selepas bertukar mesej, pemain boleh sepak itu mengajaknya untuk melawat Paris pada pertengahan Mei.
Menurut aduan itu, Neymar tiba di hotel dalam keadaan mabuk dan kedua-dua dilihat berbual-bual.
Kemudian pemain bola sepak itu dilihat menjadi agresif dan menggunakan keganasan untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa tanpa persetujuannya.
Bapa Neymar yang juga ejennya menafikan tuduhan berkenaan dalam temu bual dengan penyiar Brazil Bandeirantes.
“Ini tidak benar, dia tidak pernah melakukan apa-apa jenayah.
“Kami mempunyai semua bukti dan sudah memberikan semuanya kepada peguam,” kata Neymar Santos dengan alasan anaknya menjadi mangsa ugut.
Menurut Neymar Santos anaknya dan wanita itu keluar bersama tetapi Neymar tidak mahu melihatnya lagi.
Sejak itu wanita berkenaan berusaha memeras wang daripada pemain berkenaan dan keluarganya.
“Anak saya boleh dituduh dalam banyak perkara tetapi saya tahu dia macam mana…jelas ini adalah perangkap.
“Kami juga bersedia membongkarkan mesej menerusi Whatsapp untuk melepaskan Neymar,” katanya.
Menurut laporan media, mangsa berada di Paris dari 15 hingga 17 Mei tetapi menunggu sehingga Jumaat lalu untuk memfailkan aduan di Brazil kerana gangguan emosi.
Neymar berusia 27 tahun kini berada di Brazil sedang bersiap sedia untuk Copa America yang berlangsung di negara itu dari 14 Jun hingga 7 Julai. – AFP, 2 Jun, 2019.
Komen