PERTAHANAN anti-pesawat tentera Syria diaktifkan pada hari Ahad terhadap “peluru berpandu musuh” yang dilancarkan dari Israel ke atas beberapa “kedudukan” di barat daya Damsyik, agensi berita SANA memetik sumber ketenteraan sebagai berkata.
“Pada pagi Ahad, sasaran udara musuh tiba dari Golan.
“Pertahanan udara kami menyekat dan menembak peluru berpandu musuh ini yang menyasarkan kedudukan kami di barat daya Damsyik,” kata sumber tentera.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpusat di Britain mengatakan “gudang dan beberapa kedudukan” di rantau Kesswa, di mana pasukan Syria dan Iran serta Hezbollah Lubnan yang merupakan sekutu Damsyik ditempatkan, telah menjadi sasaran.
Terletak di barat daya ibu negara, kawasan itu sering menjadi sasaran musuh.
Israel telah melancarkan beratus serangan udara ke atas Syria, kebanyakannya terhadap apa yang didakwa sebagai serangan terhadap Iran dan Hizbullah.
Israel mengatakan ia bertekad untuk menghalang Iran daripada membina tentera di Syria, di mana Tehran menyokong Presiden Bashar al-Assad dalam perang lapan tahun negara itu yang menyaksikan lebih 370,000 nyawa terkorban.
Negara Yahudi itu menegaskan bahawa ia mempunyai hak untuk terus menyasarkan serangan ke atas kedudukan mereka di Syria yang dikuasai Iran dan sekutunya Hizbullah.
Pada 27 Mei Syria berkata Israel melakukan serangan peluru berpandu di Quneitra, yang disebut tentera Israel sebagai tindakan balas terhadap tembakan yang menyasarkan salah satu jet pejuangnya.
Wilayah Quneitra di Syria termasuk Dataran Tinggi Golan, adalah sebahagian kawasan yang didakwa Israel sebagai kedudukan Iran. – AFP, 2 Jun, 2019.
Komen