PERANG perdagangan yang kian memuncak antara Washington dan Beijing tidak menjadikan Amerika Syarikat (AS) hebat lagi, sebaliknya menjejaskan ekonomi negara itu, kata China hari ini.
Malah China menegaskan walaupun bersetuju untuk mengadakna rundingan bagi mencari penyelesaian, namun ia tidak akan bertolak ansur kepada prinsip asas.
Kritikan Beijing itu yang terbaharu dalam konflik antara dua ekonomi besar dunia yang mencetus kebimbangan terhadap ekonomi global.
Pertikaian kian meningkat beberapa minggu kebelakangan ini di mana Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif baharu ke atas barangan import China dan menyenarai hitam syarikat telekomunikasi gergasi, Huawei atas alasan keselamatan negara.
“Langkah mengenakan tarif tidak meningkatkan pertumbuhan ekonomi AS. Sebaliknya, AS menjejaskan ekonominya dengan teruk,” kata kerajaan China dalam satu kenyataan.
China merujuk kepada peningkatan kos dan harga pengguna di AS serta ancaman terhadap pertumbuhan ekonomi.
Perang perdagangan antara Washington dan Beijing bersambung semula susulan rundingan terakhir menemui jalan buntu, di mana AS menuduh China gagal memenuhi janji yang disepakati sebelum ini.
China pula berkata ia berpunca dari AS, mendakwa Washington serig mengubah tuntutan dan membuat tuduhan tidak berasas mengenai sikap Beijing semasa rundingan.
Kedua-dua negara tersebut bertukar tarif mengenai perdagangan dua hala yang bernilai beratus juta dolar sejak Trump melancarkan tarif baharu tahun lalu. – AFP, 2 Jun, 2019.
Komen