JENAZAH Ani Yudhoyono, isteri bekas presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, akan dikebumikan di Taman Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta Selatan, tengah hari ini, lapor media di republik itu.
Upacara pengkebumian dijadual dipimpin Presiden Joko Widodo, lapor Kompas.
Jenazah yang tiba dari Singapura malam tadi ditempatkan di kediaman pasangan itu di Bogor untuk penghormatan terakhir.
Media di Indonesia melaporkan orang ramai diberi peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Ani pagi ini sebelum jenazah dibawa ke Jakarta untuk pengkebumian yang dijadualkan pada pukul 3 petang ini.
Media juga melaporkan makam Ani terletak betul-betul berhadapan dengan makam Hasri Ainun Habibie, isteri bekas presiden Indonesia yang ketiga, BJ Habibie, yang meninggal pada 2010.
Ani, 66, meninggal dunia setelah dirawat di Hospital Universiti Nasional di Singapura sejak Februari lalu, kerana kanser darah.
Jenazah sebelum itu sempat ditempatkan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Singapura.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, yang kebetulan berada di Singapura untuk Dialog Shangri-la, sempat hadir memberikan penghormatan terakhir semalam.
Susilo pertama kali mengumumkan berita isterinya diserang kanser dalam satu sidang media di Singapura pada 13 Februari lalu.
Beliau kemudian menarik diri dari sebarang kegiatan kempen pemilihan presiden untuk memberi perhatian kepada isterinya di hospital. – 2 Jun, 2019.
Komen