POLIS Virginia menyiasat punca seorang jurutera melepaskan tembakan rambang kepada rakan sekerjanya, yang menjadikan lokasi kejadian di bangunan kerajaan itu menjadi seperti zon perang.
Dalam kejadian pada Jumaat itu, 12 orang terbunuh manakala empat lagi cedera.
Suspek telah disahkan pihak berkuasa sebagai DeWayne Craddock. Laporan berita menyebut Craddock berusia 40 tahun.
Ketua Polis James Cervea pada sidang media berkata, Craddock yang terbunuh ketika berbalas tembakan dengan polis adalah kakitangan jabatan kerja raya Virginia Beach selama 15 tahun.
Beliau enggan mengesahkan jika suspek dikenakan tindakan disiplin dalam beberapa minggu lepas. Menurut laporan berita, Craddock pernah berkhidmat dengan Army National Guard selepas tamat sekolah menengah.
Craddock ditemui bersama dua pistol .45-kaliber yang dibeli secara sah, kata Ashan Benedict dari Biro Alkohol, Tembakau, Senjata api dan Bahan letupan (ATF).
Sekurang-kurangnya salah satu senjata berkenaan dilengkapi dengan alat penyengap. Craddock juga menggunakan beberapa kelopak berkapasiti tinggi, kata Cevera.
Dua lagi senjata ditemui di rumah Craddock, yang tinggal bersendirian. Satu dibeli secara sah, manakala satu lagi masih disiasat. – AFP, 2 Jun, 2019.
Komen