Najib nasihat wartawan elak berita palsu


Yasmin Ramlan

Banyak berita palsu disebarkan untuk menanam kebencian terhadap kerajaan, kata Najib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2017.

WARTAWAN perlu beri kesedaran dan pemahaman kepada rakyat bagi mengelakkan berita palsu terutamanya dalam media atas talian yang mempengaruhi rakyat, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Najib berkata, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin disalah erti dan sengaja disebarkan untuk mengelirukan rakyat di negara ini.

“Kita berdepan dengan apa yang istilah dipopularkan - fake news, terutama sekali dalam online yang menjadi media alternatif banyak mempengaruhi rakyat dalam negara ini termasuk terutama golongan muda.

“Dan kita mesti bertindak tangkas dalam menangani fake news yang disebar dengan sengaja melalui online dan kebanyakan telah dirancang untuk menimbulkan kebencian di kalangan rakyat terhadap kerajaan atau sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat (tentang) tujuan sebenarnya,” katanya di hadapan kira-kira 100 wartawan wanita ketika majlis minum petang anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur hari ini.

Beliau memberi contoh kenyataannya yang disalah ertikan, ketika melawat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di White House, Washington.

Najib mengadakan perjumpaan dengan Trump pada 12 September lalu.

“Kadang-kadang kenyataan dibuat oleh pemimpin termasuk saya disalah ertikan ataupun dikilas untuk mengelirukan rakyat terutama bila saya bercakap dengan Presiden Donald Trump di White House baru-baru ini. Saya beritahu saya datang sini untuk kukuhkan ekonomi, tetapi bila saya kata sedemikian, maksudnya saya bukan kata kita sebagai penyumbang dana kepada ekonomi US tanpa kita menerima perubahan dalam ekonomi AS (Amerika Syarikat).

Maknanya kita bukan menuntut, bukan meminta sedekah tetapi kita hadir sebagai negara berjaya yang boleh jadi pelaku global yang signifikan,” katanya. – 24 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen