Krisis warlord dalam konflik korporat


Zainal Rashid Ahmad

PADA Jun 2018, saya bertemu Amrin Awaludin untuk sesi rasmi mendapatkan pandangan dan nasihat profesional. Sesi spesifik mengenai tips mengurus dan menyusun strategi pemasaran dalam usaha menjana pendapatan media menjadi lebih efisien.

Amrin tidak banyak berbual soal rinci pembentangan strategi yang disediakan. Fokusnya bukan pada hal-hal angka dan data. Dia memilih subjek lebih relevan dengan menyentuh soal sikap dan falsafah dalam mengurus pembaharuan operasi.

Amrin menyatakan, potensi dan dinamisme korporat lebih bergantung pada sikap pengurusan kanan. Bukan semata-mata idea dan strategi pembaharuan. Nasihatnya, faktor mentaliti pengurusan kanan perlu diberikan lebih keutamaan.

Alasannya, 1,000 halaman strategi baharu pun tidak akan berkesan sekiranya mentaliti pengurusan kanan masih di takuk lama. Syarikat yang berdepan krisis memerlukan dinamisme idea dan ia hanya akan berjaya dilaksanakan sekiranya pengurusan komited untuk berubah sejajar dengan komplikasi syarikat.

“Konflik mementingkan wilayah kerja dikuasai pengurusan kanan adalah penghalang utama perubahan. Mustahil syarikat mampu menukar strategi perubahan. Mustahil syarikat mampu menukar strategi dan cara bekerja, sekiranya soal kekuasaan wilayah kerja menjadi keutamaan pengurusan kanan, ” katanya.

Amrin memiliki pengalaman luas selama 15 tahun memimpin organisasi media berkelas konglomerat. Sejarahnya bermula pada 2001, iaitu keberanian menyertai industri penyiaran ketika stesen TV belum pulih setelah berdepan krisis ekonomi yang buruk sejak 1998.

Amrin juga berpengalaman mengurus stesen TV yang diambil alih dengan hutang lapuk RM50 juta. Selama lapan tahun menyusun kewangan organisasi konglomerat media massa, kontradik dengan realiti semasa. Mustahil perubahan operasi mampu mencapai matlamat baharu, sekiranya ketua jabatan masih di takuk lama.

Pada 2016, Amrin meninggalkan media massa dan memilih sektor pembangunan hartanah. Bulan lalu, Amrin beralih ke sektor perkapalan.

Pada pertemuan Ramadan tahun lalu itu, Amrin turut menasihatkan: elakkan krisis dilema konservatif dan konflik sasaran pembaharuan. Nasihatnya: itu krisis klasik yang sangat berbahaya dalam bisnes media massa.

Fokus utama, mestilah menangani krisis mentaliti dengan sikap buruk untuk mengutamakan jabatan sendiri sahaja. Komplikasi akan wujud dan menjadi kontradik dengan realiti semasa.

Mustahil perubahan operasi mampu mencapai matlamat baharu, sekiranya ketua jabatan masih di takuk lama.

“Selalunya pembaharuan dikekang oleh budaya ketua jabatan mahukan kawalan peribadi ke atas wilayahnya, ” kata Amrin.

Proses kewilayahan jabatan bukan sahaja menjejaskan potensi mengubahsuai formula perniagaan dalam usaha mencapai matlamat baharu, tetapi ia punca usaha kawalan kos akan gagal.

Kewilayahan jabatan juga menyebabkan intregrasi bekerja secara berpasukan dalam syarikat akan terbatas. Dalam konteks media massa, ia menghalang dinamisme kreativiti yang organik. Akibat lainnya, ia turut menggagalkan usaha kawalan kos yang sepatutnya lebih rigid.

Selain itu, ia menyusahkan penstrukturan baharu yang lebih ekonomikal. Maksudnya, kalau cara kerja dan cara berfikir tidak berubah, 1000 halaman kertas strategi hanyalah sampah.

Dalam pertemuan sejam itu, Amrin tidak menggunakan perkataan ‘warlord’. Secara diplomatik, nasihatnya disampaikan secara umum dengan istilah ‘territory’.

“Anda boleh menukar baju, iaitu strategi baharu perniagaan. Tetapi anda akan gagal kalau orang yang sama di dalam baju itu. Lebih teruk lagi, kalau orangnya tidak mahu berubah walaupun sudah bertukar baju, ” katanya.

Saya faham maksud Amrin. Justeru, pengalaman sejam mendapatkan nasihatnya kekal dalam kepala.

Amrin melihat kesukaran mengubah organisasi media massa kerap berkait dengan watak manusianya. Isu manusia lebih kritikal berbanding menyediakan bisnes model baharu.

Potensi media massa untuk berubah dan menjadi efisien sentiasa ada. Tetapi kekangan utama ialah sikap tidak dinamik ketua-ketua jabatan.

Sesi diskusi dan meminta nasihat Amrin, sepenuhnya tertumpu pada model operasi media massa hari ini. Apa lagi dalam suasana mencabar akibat merudumnya pendapatan iklan dan meningkatnya kos operasi.

Media massa mengalami kejutan ledakan digitalisasi yang mengakibatkan migrasi iklan ke media digital berlaku secara besar-besaran. Isu ledakan platform digital menjadikan akhbar, radio dan stesen TV tiba-tiba dianggap media massa warga tua.

Pengiklan beralih ke premis digital kerana ia lebih trendy, hipster dan berdaya beli. Realiti yang lebih teruk lagi ialah, kos iklan digital sangat murah dan menawarkan jangkauan akses pengguna yang meluas dan berkesan. Paras harga yang rendah dan kepantasan platform digital tidak dapat disaingi media massa gergasi kerana jurang perbezaan kemahiran dan kos operasi.

Pengiklan memburu platform digital yang mengisi habit utama Revolusi Industri 4.0 serta kosnya yang sangat murah. Manakala, media massa gergasi tidak mampu menurunkan harga pengiklanan kerana beban kos operasi yang tinggi.

Menyedari konflik ini, sejak sedekad lalu, media massa konvensional berdepan tekanan untuk melaksanakan perubahan. Pastinya beban untuk turut bermigrasi ke platform digital.

Namun, dengan tenaga kerja senior yang majoritinya menguruskan cara kerja konvensional selama dua dekad, migrasi digital tidak mudah dilaksanakan.

Dalam konteks ini, sekali lagi isunya tentulah mentaliti pengurusan kanan. Secara psikologi, tentulah perit untuk menerima realiti, aset pengalaman lama kini merosot teruk dalam era digital.

Justeru, ramai yang berkeras dengan sikap lama. Inilah pembunuh senyap dalam merudumnya bisnes media massa. – 2 Jun, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen