Mahkamah Sierra Leone tarik balik kelayakan 10 ahli Parlimen


KELAYAKAN 10 ahli Parlimen pembangkang utama Parlimen Sierra Leone ditarik balik, selepas sebuah mahkamah meluluskan petisyen difailkan Parti Rakyat, lapor agensi berita Anadolu pada Jumaat.

Petisyen pilihan raya itu difailkan Parti Rakyat SLPP yang merupakan parti pemerintah, ke atas 16 ahli Parlimen pembangkang kerana menipu undi, terlibat dengan keganasan dan salah laku dalam memperolehi gaji sebagai kakitangan awam. 

Keputusan berkenaan menjadikan parti pemerintah kini mempunyai 58 kerusi, manakala pembangkang APC 57 kerusi, dengan dua lagi pilihan raya kecil akan diadakan semula. 

Sebelum ini, parti pembangkang mempunyai 63 kerusi.

Keputusan itu, mencetuskan bantahan di jalan-jalan raya di ibu kota Freetown, menyaksikan polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

Karamoh Kabbah dari pembangkang mendakwa, jurucakap parti itu, Cornelius Deveaux dan beberapa anggota parti lain turut dikasari anggota polis hingga menyebabkan kecederaan. 

Peguam pembela, Africanus Sesay memberitahu stesen televisyen kebangsaan SLBC, rayuan akan dibuat dan membawa kes itu ke Mahkamah Agung. – Bernama, 1 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen