Penyiasat Haiti dakwa presiden terlibat dalam skim seleweng dana


Presiden Jovenel Moise dituduh terlibat dalam skim penyelewengan yang menyalurkan wang bantuan dari Venezuela untuk menaik taraf jalan. – Gambar fail EPA, 1 Jun, 2019.

MAHKAMAH Haiti semalam menuduh Presiden Jovenel Moise terlibat dalam “skim penyelewengan” yang menyalurkan wang bantuan dari Venezuela untuk menaik taraf jalan.

Ia tuduhan terbaharu yang dikaitkan dengan dana PetroCaribe tajaan Venezuela yang dibelenggu dakwaan rasuah sejak ditubuhkan pada 2008.

Dalam laporan setebal 600 halaman, Mahkamah Tinggi Juruaudit berkata pada 2014 kerajaan Haiti memberi dua syarikat kontrak menaik taraf jalan.

Salah satu syarikat tersebut adalah Agritans, syarikat ladang pisang milik Moise sehingga pilihan raya 2017, yang menerima lebih 33 juta gourdes (AS$700,000) untuk menaik taraf jalan.

Mahkamah menyifatkan ia satu skim penyelewengan dan berkata kedua-dua syarikat terbabit melakukan kesalahan sama pada tarikh yang sama.

Mahkamah juga mendapati syarikat Moise menerima wang tunai pendahuluan hampir dua bulan sebelum kontrak ditandatangani, yang menurut panel hakim adalah satu kesalahan konspirasi, berat sebelah dan penyelewengan.

“Keadaan jalan menimbulkan persoalan dan menunjukkan terdapat jurang besar antara jumlah yang dibelanjakan dengan hasil kerja,” kata panel hakim.

Laporan sama turut menyebut, keputusan pada 2015 untuk memberi kontrak pembinaan jalan lain kepada Agritans melanggar undang-undang perolehan awam.

Dana PetroCaribe diwujudkan ketika di bawah pentadbran bekas presiden Venezuela Hugo Chavez. Ia membenarkan beberapa negara Caribbean dan Amerika Latin membeli minyak pada harga potongan dan secara ansuran mudah.

Siasatan yang dijalankan oleh Senat Haiti pada 2016 dan 2017 merumuskan bahawa hampir AS$2 bilion daripada dana itu telah disalah guna. – AFP, 1 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen