AS gesa China henti hakis kedaulatan negara jiran


Patrick Shanahan berkata AS sudah banyak melabur di rantau Indo-Pasifik untuk mengekalkan kuasa dan keupayaan ketenterannya untuk mempertahankan sekutunya di Asia. – Gambar EPA, 1 Jun, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) memberi amaran kepada China pada Sabtu berhubung tindakan mengancam kedaulatan negara jirannya dan berkata Washington melabur dalam teknologi ketenteraan baru dalam tempoh lima tahun akan datang untuk memastikan Asia stabil.

“China boleh dan sepatutnya mempunyai hubungan kerjasama dengan seluruh rantau ... Tetapi tingkah laku yang menghakis kedaulatan negara lain dan menyemai kesangsian terhadap niat China mesti berakhir,” kata Pemangku Setiausaha Pertahanan AS Patrick Shanahan memberitahu forum keselamatan serantau di Singapura .

Shanahan berkata AS sudah banyak melabur di rantau Indo-Pasifik untuk mengekalkan kuasa dan keupayaan ketenterannya untuk mempertahankan sekutunya di Asia.

Washington dan Beijing bersaing untuk pengaruh di rantau ini di beberapa lokasi seperti Laut China Selatan, Semenanjung Korea dan Selat Taiwan.

Hubungan antara kedua-dua kuasa itu dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Singapura yang mengumpulkan menteri pertahanan dan pegawai tentera tertinggi dari seluruh dunia.

Buat pertama kalinya sejak 2011, China menghantar menteri pertahanannya ke perhimpunan itu.

“Apabila kita bercakap tentang kesediaan, kita bermaksud mempunyai keupayaan yang tepat di tempat yang betul untuk bertindak balas terhadap krisis, dan untuk bersaing serta menghalang musuh,” kata ketua Pentagon itu.

Walaupun AS tidak mencari konflik, ia sedar memiliki keupayaan untuk memenangi perang adalah pencegahan terbaik, katanya.

“Kami mahu memastikan tiada musuh yang percaya ia berjaya mencapai matlamat politik melalui kuasa ketenteraan,” katanya. – AFP, 1 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen