Erdogan tak hadir sidang kemuncak OIC


Ia sepatutnya menjadi lawatan pertama Recep Tayyip Erdogan ke Arab Saudi sejak pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi di konsulat negara itu di Turki pada Oktober tahun lalu. – Gambar EPA, 1 Jun, 2019.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan tidak hadir sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-57 di Mekah pada Sabtu.

Beliau sebaliknya diwakili oleh Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu.

Ia sepatutnya menjadi lawatan pertama Erdogan ke Arab Saudi sejak pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi di konsulat negara itu di Turki pada Oktober tahun lalu, yang menjejaskan reputasi Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Sidang OIC ini merupakan yang ketiga dan terakhir anjuran Arab Saudi pada minggu ini, yang disasarkan untuk meraih sokongan dari kalangan negara Arab dan Islam untuk menentang Iran. Iran mempunyai hubungan rapat dengan Turki.

Khashoggi, penyumbang artikel kepada akhbar Washington Post, dibunuh dalam operasi yang disifatkan Arab Saudi sebagai kejam. Tetapi, analisis CIA yang dibocorkan kepada media Amerika Syarikat (AS) menyebut ia didalangi oleh Putera Mohammed.

Erdogan berkata arahan membunuh Khashoggi datang dari “peringkat tertinggi” kerajaan Arab Saudi. – AFP, 1 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen