PENDIDIK dan ahli akademik Cina menyambut baik cadangan untuk menggabungkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan program matrikulasi, tetapi memberi amaran bahawa ia tidak akan menyelesaikan isu kuota kaum.
Menurut mereka, terlalu banyak perkara yang tidak diketahui dalam cadangan yang boleh membuktikan bahawa ianya sukar kerana kedua-dua program tersebut mempunyai pelbagai aspek berbeza yang perlu diselaraskan.
Apakah gabungan ini akan menaikkan standard?
Pengerusi Yayasan Lim Lian Geok, Lau Chee Boon berkata Putrajaya sepatutnya menimbangkan untuk menjadikan STPM sebagai satu-satunya cara untuk ke universiti awam kerana ia akan meningkatkan kualiti pendidikan awam.
Kualiti pendidikan negara masih di tahap lemah jika isu kuota tidak ditangani dalam usaha untuk menggabungkan STPM dan matrikulasi.
“Kerajaan perlu meningkatkan daya saing pelajar Bumiputera.
“Jadi, biarkan mereka bersaing dengan pelajar lain pada peringkat yang sama daripada membuat kesilapan dengan memberi perhatian kepada yang lemah. Ini hanya akan menurunkan kualiti pendidikan,” kata Lau.
Sebagai sebahagian daripada langkah perlahan untuk menangani isu kuota, beliau mencadangkan kerajaan menyeimbangkan kuota antara kaum. Pada masa sama, kebolehan pelajar Bumiputera ditingkatkan sehingga sampai ke satu tahap di mana sistem kuota ini boleh dimansuhkan.
“Saya harap kerajaan nanti akhirnya dapat memansuhkan program matrikulasi dan kembali kepada STPM. Ini akan membantu meningkatkan daya saing pelajar kita,” katanya.

Menggabungkan “epal dengan oren”
Pensyarah media dan politik, Liew Wui Chern pula mengambil perhatian perbezaan antara kedua-dua program, yang menurut beliau akan membuktikan penggabungan “epal dan oren” adalah sukar.
“STPM di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan manakala program matrikulasi di bawah pengurusannya sendiri, jadi perbezaan asas itu sudah ada,” katanya.
“Sistem mana yang akan digunakan selepas penggabungan? Atau adakah akan wujud sistem baharu? Ini isu besar. Anda kena tahu mengenai seluruh kurikulum dan bagaimana pelajar akan dinilai.
“Program matrikulasi lebih fleksibel dan tempoh pengajian lebih lama. Manakala STPM pula, ia sama ada ‘hidup atau mati’. Pelajar hanya ada satu sahaja pilihan untuk lulus dan ini memberi lebih tekanan.”
Kata Liew, satu jabatan khusus perlu diwujudkan jika kedua-dua program ini digabungkan untuk mengurus dan menyelaraskan antara lain sukatan pelajaran, tempoh pengajian, peperiksaan, pemarkahan, kelayakan mengajar serta syarat kemasukan.
Jika program yang digabungkan itu memilih untuk bergantung kepada standard matrikulasi, ia akan mencipta “kualiti pelajar yag lemah”. Jika ia lebih condong kepada standard STPM, ia mungkin merugikan pelajar yang lemah.
Dan jika penggabungan yang dicadangkan itu tidak berjaya, ia mungkin mencetuskan lebih banyak rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum, kata pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman itu.Penggabungan juga mungkin bermakna pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera akan bersaing pada tahap yang sama, katanya.
Liew juga mempersoalkan jika cadangan ini dapat diterima oleh masyarakat memandangkan program matrikulasi diwujudkan sebagai jalan mudah bagi pelajar Bumiputera masuk universiti.
Penggabungan itu juga sudah tentu menjadi kayu pengukur kepada kebijaksanaan kerajaan dalam mengendalikan perkara ini, tambah beliau.

Sistem tanpa kelas
Persoalan sama turut ditimbulkan oleh ahli Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Ng Sui Thye, iaitu siapakah yang akan menentukan tahap kesukaran sukatan pelajaran dan peperiksaan selepas penggabungan dilaksanakan.
Menurut Ng, beliau memilih “program yang sederhana sukar” tetapi pada masa yang sama berharap Kementerian Pendidikan dapat mewujudkan satu sistem tanpa kelas untuk menunjukkan bahawa semua orang berpeluang mendapat pendidikan.
“Dari satu segi, wujud persepsi bahawa lebih sukar sesuatu program, maka kualitinya lebih tinggi, dan matrikulasi tak begitu sukar. Walaupun kita tak memerlukan syarat yang tinggi untuk masuk ke universiti awam, penyesuaian kepada tahap kesukaran wajar dipertimbangkan,” katanya. – 1 Jun, 2019.
Komen