Korea Selatan tidak putus asa cari mangsa nahas bot di Budapest


Para penyelamat bertarung dengan arus kuat di sungai bagi mencari mangsa yang selamat daripada bot persiaran Mermaid, yang terbalik dan tenggelam beberapa saat selepas ia bertembung dengan kapal pelayaran lebih besar dalam hujan lebat pada malam Rabu. – Gambar EPA, 31 Mei, 2019.

KOREA Selatan berikrar pada Jumaat tidak berputus asa mencari 21 orang lagi yang masih hilang selepas dua hari bot persiaran yang membawa pelancong terutamanya rakyat negara itu karam di Sungai Danube.

Para penyelamat bertarung dengan arus kuat di sungai bagi mencari mangsa yang selamat daripada bot persiaran Mermaid, yang terbalik dan tenggelam beberapa saat selepas ia bertembung dengan kapal pelayaran lebih besar dalam hujan lebat pada malam Rabu.

Polis Hungary menahan kapten kapal pelayaran yang terbabit dalam kemalangan di laluan air sibuk di Danube berhampiran bangunan parlimen.

Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha tiba di Budapest dengan pasukan petugas kecemasan dan melawat tapak kemalangan pada Jumaat bersama rakan sejawatnya dari Hungary, Peter Szijjarto.

“Kami memutuskan kami tidak akan berputus harapan mengenai kemungkinan menemui mangsa” sehingga semua yang hilang ditemui, katanya pada sidang akhbar.

Tetapi harapan mencari mangsa yangselamat dilihat sebagai sangat tipis, kerana percubaan oleh ratusan polis Hungary dan penyelamat tentera untuk mencari mangsa dan sampai ke kapal yang karam terhalang oleh arus yang mengalir deras.

Orang awam yang berdukacita meletakkan bunga di sepanjang laluan air untuk tujuh pelancong Korea Selatan yang diketahui terkorban dan 21 orang yang masih hilang - termasuk seorang gadis berusia enam tahun dan kapten dan anak kapal warga Hungary.

Hanya tujuh orang yang diketahui terselamat setakat ini.

Polis berkata pada Khamis mereka sudah menahan kapten kapal Ukraine yang lebih besar, Viking Sigyn, untuk disoal berhubung kejadian itu. – AFP, 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen