PM Thailand baharu diketahui 5 Jun


Sejumlah 499 daripada 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 senator akan bermesyuarat pada 5 Jun bagi mengundi perdana menteri Thailand yang baharu. – Gambar EPA, 31 Mei, 2019.

TEKA-TEKI selama beberapa bulan yang lepas mengenai siapa yang akan memegang jawatan perdana menteri yang baharu akan terjawab akhir Rabu hadapan (5 Jun) apabila semua anggota Parlimen akan bersidang dan mengundi perdana menteri yang baharu.

Sejumlah 499 daripada 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 senator akan bermesyuarat di Auditorium TOT Plc di Chaeng Wattana Road, bangunan sementara Parlimen memandangkan bangunan Parlimen masih di bawah pembinaan, bagi mengundi perdana menteri yang baharu.

Seorang ahli Parlimen tidak dapat hadir pada hari yang bersejarah itu - pemimpin Future Forward Party (FFP) Thanathorn Juangroongruangkit yang digantung sebagai anggota Parlimen oleh Mahkamah Perlembagaan di atas dakwaan mempunyai saham haram dalam sebuah syarikat media.

Speaker Parlimen, Chuan Leekpai berkata, beliau akan berunding dengan Speaker Dewan, Pornpetch Wichitcholchai dan kedua-duanya setuju untuk mengadakan mesyuarat bersama pada Rabu hadapan.

“Pengundian perdana menteri akan diadakan pada 11 pagi (waktu tempatan),” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menerima arahan diraja di hadapan potret Raja Maha Vajiralongkorn pada upacara yang diadakan di bangunan Parlimen yang baru hari ini.

Hari ini, Royal Gazette menerbitkan persetujuan raja berhubung speaker dan timbalannya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sementara itu, tiga muka baharu ahli Parlimen - FFP Srinual Boonlue yang menang pilihan raya kecil Chiang Mai dan dua ahli Parlimen - Chitapas Kridakorn dari parti Demokrat dan Watanya Wongopasi daripada parti Palang Pracharat (PPRP) akan mengangkat sumpat pada pukul 9.00 pagi (waktu tempatan) pada Rabu hadapan.

Jumpita Jantarakhajon dari parti FFP, yang tidak hadir semasa majlis angkat sumpah pada minggu lepas akan mengangkat sumpah pada hari yang sama.

Jen Prayuth Chan-o-cha yang menjadi satu-satunya calon perdana menteri daripada parti PPRP disebut-sebut secara meluas akan memegang kuasa dengan sekurang-kurang mendapat 376 undi apabila kesemua 499 MP menyertai 250 senator yang dilantik oleh junta untuk mengundi perdana menteri.

Seorang lagi calon PM ialah Thanathorn. Bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada Pheu Thai, sebuah parti yang dikaitkan dengan perdana menteri yang disingkirkan, Thaksin Shinawatra, akan mencadangkan calonnya bagi jawatan perdana menteri.

Pada pilihan raya umum pertama sejak rampasan kuasa 2014 menyaksikan parti PPRP mendapat sekurang-kurangnya 147 kerusi daripada 500 anggota Dewan Rakyat manakala parti demokratik yang diketuai oleh Pheu Thai dan gabungannya mendapat 246 kerusi.

Kedua-dua parti pro-junta iaitu PPRP dan demokratik sedang bertungkus-lumus untuk membentuk sebuah kerajaan baharu selepas lebih dua bulan keputusan pilihan raya yang tidak menyakinkan.

Pada masa kini, tiga parti politik - Demokrat, Bhumjaithai dan Chart Pattana dengan jumlah 107 kerusi belum membuat keputusan mengenai menyertai sebarang gabungan.

Pada Isnin, pemimpin PPRP, Uttama Savanayana memberi jemputan formal kepada Demokrat yang memenangi 53 kerusi dan Bhumjaithai, 51 kerusi untuk menyertai gabungannya.

Semalam, Uttama juga menemui pemimpin Chart Pattana, Kanchana Silapa-archa untuk menjemput parti itu untuk menyertai gabungan itu. Bagaimanapun selepas berbincang mereka kekal tanpa keputusan.

Sekiranya ketiga-tiganya menyertai PPRP yang menyokong Prayuth, gabungan itu akan mendapat majoriti tipis 254 undi.

Media tempatan meramalkan pemilihan speaker dan timbalannya bagi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada hujung minggu lepas menunjukkan bahawa ketiga-tiga parti itu akan menyertai PPRP dalam membentuk gabungan. – Bernama, 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen