Iktiraf kubur pahlawan hanya kejayaan kecil suku Berawan


Salhan K. Ahmad

Seorang penduduk kampung Long Iman menyiapkan rotan sebelum dianyam menjadi barangan kraftangan. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Jun, 2019.

ANDAI kemaraan syarikat ladang kelapa sawit tidak dihalang, semua pusara nenek moyang suku Berawan di kuala Sungai Melinau di Mulu pasti hilang tanpa sebarang tanda.

Namun selepas berbulan-bulan berunding, syarikat tersebut Radiant Lagoon Sdn Bhd mengalah dan akur dengan kepentingan pusara berkenaan, kata seorang ahli suku Berawan, Glenn Baya.

Sebab itulah upacara memperingati nenek moyang yang julung kali diadakan di tapak pengebumian Long Gak pada 9 Mei lalu itu sangat penting bagi mereka, katanya.

“Ini satu kejayaan. Syarikat itu ceroboh tanah kubur nenek moyang kami, jadi upacara itu dibuat selepas mereka akur dengan tuntutan orang Berawan,” kata pengusaha inap desa itu ketika ditemui di Mulu.

Antara yang disemadikan di situ adalah jasad moyangnya, Orang Kaya Temenggong Lawai Melayong, tokoh yang memimpin Orang Ulu menentang penjajahan Rajah Brooke di hulu Baram.

Namun upacara di kubur tersebut hanyalah kemenangan kecil jika tidak berjaya menghalang kemusnahan lebih besar yang bakal berlaku, menurut anggota masyarakat Orang Ulu.

Mereka menganggap demikian kerana bimbang hutan berhampiran taman negara itu musnah apabila syarikat tersebut berjaya membuka ladang kelapa sawit di tanah rayau mereka.

Penduduk suku Berawan, Penan dan Tering di Mulu mula gelisah apabila mendapat khabar bahawa syarikat Radiant Lagoon sedang mengaut balak bernilai lebih RM40 juta dari tanah itu.

Dakwaan mengenai pembalakan itu, yang dilaporkan Sarawak Report, disebut-sebut oleh kalangan masyarakat Penan yang ditemui The Malaysian Insight di Kampung Batu Bungan di Mulu.

Tiada lagi hasil hutan

Seorang penduduk asal, Majo Din berkata ia akan memberi kesan besar kepada orang Penan yang masih banyak bergantung kepada hasil hutan untuk meneruskan hidup.

“Di sini kita makan tepung mulong (sagu). Tapi kalau tiada hutan, tiada lagi tepung mulong. Kita tidak banyak padi seperti di Long Iman,” kata Majo, 77, ketika ditemui di Batu Bungan.

Beliau antara penduduk Penan terawal yang dipindahkan dari kawasan hutan ke kampung tersebut dalam operasi tahun 1970-an sewaktu Malaysia ditekan komunis.

Nyaru Beti, salah seorang pemimpin kaum Penan yang menentang syarikat perladangan kelapa sawit itu. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Jun, 2019.

Kampung Batu Bungan di tebing Sungai Melinau itu kini menempatkan hampir 90 keluarga. Sebahagian darinya mendapat peluang pekerjaan daripada kegiatan pelancongan di Taman Negara Mulu.

Nyaru Beti, pemimpin jawatankuasa bertindak kampung itu yang menentang usaha syarikat Radiant Lagoon mengusahakan kawasan hutan tersebut juga bekerja sebagai pemandu pelancong.

Ketika ditemui, beliau tidak dapat meluangkan banyak masa kerana perlu membawa pelancong ke kawasan Gua Niah, namun sempat menegaskan sikap menolak pembukaan ladang sawit.

“Nanti semua hasil hutan akan habis. Kami tidak setuju,” tegasnya yang juga bimbang dengan ekologi di kawasan warisan dunia diiktiraf Unesco itu.

Operasi pembalakan itu ditentang melalui Save Mulu, kempen mengutip tandatangan yang digerakkan oleh NGO Bruno Manser Fund.

Ia turut digerakkan di London untuk menyambut kunjungan delegasi kerajaan Malaysia ke negara itu yang mempromosi penggunaan minyak sawit dengan kempen Love My Palm Oil.

Sebanyak RM200 diperlukan untuk mendapatkan kayu, RM100 gam, RM25 untuk kerja tangan dan paku bagi membina sebuah bot Orang Ulu yang bagus dan dapat meredah arus deras. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Jun, 2019.

Bukan tanah Orang Ulu, kata syarikat ladang

Selain itu, kumpulan masyarakat Penan, Berawan dan Tering juga mendirikan sekatan untuk menghalang jentera daripada memasuki kawasan berkenaan untuk mengeluarkan balak.

Namun peguam syarikat ladang itu, Arthur Lee menegaskan ia bukan tanah Orang Ulu dan masyarakat Orang Asal berkenaan tidak berhak memburu dan mengutip hasil hutan di kawasan itu.

“Mereka hanya berhak memburu dan kutip hasil dalam kawasan taman negara, bukan di kawasan tanah itu. Mereka juga hanya tinggal di situ sejak tahun 1970-an apabila rumah panjang dibina.

“Jadi macam mana mereka boleh kawasan hutan itu tanah mereka,” soal Lee yang menganggap NGO seperti Bruno Manser Fund tidak mengetahui keadaan sebenar di Mulu.

Susulan bantahan masyarakat tersebut, Radiant Lagoon bagaimanapun menghentikan segala operasi di situ sejak tiga bulan lalu dan kini menunggu keputusan permohonan tanah pajakan bersyarat itu.

“Pajakan bersyarat itu belum diputuskan lagi, kami masih menunggu kelulusan daripada NREB (Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar),” kata Lee.

Lee berkata syarikat itu berharap lembaga bawah kerajaan Sarawak itu memberi kelulusan tersebut supaya mereka dapat mengusahakan sekitar lebih 4,000 hektar tanah.

Bagaimana anak guamnya menjangka keputusan akhir hanya membenarkan kawasan seluas sekitar 3,500 hingga 3,800 hektar sahaja disebabkan syarat yang ditetapkan.

Jelasnya, hal ini kerana syarikat itu disyaratkan untuk menyediakan kawasan penampan seluas 1km di sempadan taman negara, sungai dan sempadan dengan Brunei.

“Selain itu kita juga tidak dibenarkan untuk mengusahakan tanah di kawasan cerun lebih 35 darjah. Semua ini memberi kerugian kepada anak guam saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Peguam dari firma Arthur Lee Lin & Co itu menegaskan usaha anak guamnya untuk membangunkan tanah tersebut dibuat mengikut undang-undang sejak awal.

Bayar lebih RM100 juta

Katanya, Radiant Lagoon memperolehi tanah tersebut selepas membayar lebih RM100 juta untuk mengambil alih saham daripada pemilik asalnya, Titanium Management Sdn Bhd.

Syarikat tersebut pada asalnya dilantik oleh kerajaan negeri untuk penyelenggara jalan dan jambatan di seluruh Sarawak, katanya.

“Tetapi disebabkan kerajaan Sarawak tidak dapat membayar mereka dengan wang tunai, sebagai ganti wang tunai, memindahkan hak tanah itu kepada (Titanium).

Jelasnya, Radiant Lagoon pada mulanya bimbang untuk membeli tanah tersebut kerana salah seorang pengarah Titanium adalah Bekir Taib, anak kepada bekas ketua menteri Taib Mahmud.

“Tetapi tanah ini diberikan kepada Titanium oleh kerajaan Sarawak, dan kita tidak mendapatkannya secara percuma. Kita membayar lebih RM100 untuk tanah ini.

“Jadi kenapa perlu timbul isu?” kata Lee yang menjelaskan, ia tidak menjadikan Radiant Lagoon syarikat kroni Taib.

Beliau berkata kerja yang dilakukan setakat ini juga hanyalah untuk mengeluarkan balak dari kawasan yang sudah ditebang lebih tiga bulan untuk mengelak kayu tersebut rosak.

Seorang penduduk, Musi Jeluman memperoleh pendapatan menerusi hasil kraf tangan dan padang sasar sumpit. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Jun, 2019.

Menurut Lee, ia perlu dikeluarkan supaya anak guamnya dapat memulakan kerja-kerja mengerjakan tanah untuk penanaman namun segalanya kini dihentikan – yang menyebabkan kerugian.

Ia termasuk pembinaan jalan ke kawasan untuk menempatkan anak benih kelapa sawit berhampiran Long Terawan apabila penduduk mendakwa ia akan merosakkan kawasan kubur, katanya.

Katanya, anak guamnya juga sudah membayar RM100,000 kepada masyarakat Berawan bagi pampasan untuk kes tanah pengebumian.

“Ini tidak termasuk pampasan kepada pemilik kebun dalam kawasan yang hendak dibangunkan. Kita ada senarai semua penerimanya.

“Kita tanggung banyak kerugian kerana ia sudah tertangguh selama 18 bulan. Sepatutnya satu hektar tanah dapat keluarkan 30 tan kelapa sawit. Kiralah jika jumlahnya 3,500 hektar,” katanya.

Sekiranya ladang sawit itu berjaya diusahakan kelak, ia akan membawa kemakmuran kepada Mulu dan peluang pekerjaan kepada masyarakat tersebut, kata Lee.

Selain itu, ladang berkenaan juga akan membolehkan syarikat membina jalan sejauh 70km menghubungkan Mulu dengan Marudi, tambahnya.

Pada masa ini, Mulu hanya boleh dihubungi melalui pesawat udara dan juga sungai. – 1 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen