Pasukan perubatan khas pantau mangsa pencemaran Sungai Kim Kim


Noel Achariam

Orang ramai mendapatkan rawatan di pusat perubatan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2019.

PASUKAN perubatan khas sudah mula mengawasi kesihatan 6,000 mangsa yang terdedah kepada pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor hampir empat bulan lalu, kata sumber.

Mangsa sedang diperiksa oleh pasukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terdiri daripada pegawai Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kesihatan Johor.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pasukan itu ditugaskan untuk mengkaji kesan akibat pendedahan kepada bahan kimia semasa kejadian berhampiran Sungai Kim Kim pada Februari lalu.

“Pesakit yang mempunyai simptom akan diberikan intervensi awal semasa tempoh susulan.

“Maklumat dan pelbagai jenis data sedang dikumpulkan untuk memastikan kajian menyeluruh dan teliti dijalankan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata fokus utama adalah mangsa yang terdedah kepada bahan kimia.

“Apabila kita mendapat peluang seperti ini, kita mesti mengambil peluang untuk meneruskan dan menjalankan kajian kohort.

“Apa yang perlu ditentukan ialah kesan jangka panjang kepada mangsa, sama ada individu itu berisiko mendapat kanser atau jika ia mempunyai kesan ke atas sistem reproduktif,” katanya.

Pegawai itu berkata KKM akan memastikan progres itu sentiasa dikemas kini oleh pasukan berkenaan. Mereka memulakan kajian pada awal April.

Pembuangan bahan kimia yang menyalahi undang-undang di sungai menyebabkan hampir 6,000 orang, kebanyakannya murid, jatuh sakit. Mereka dirawat kerana terhidu asap toksik.

Jabatan Alam Sekitar berkata 20 tan sisa kimia mungkin dibuang ke sungai yang mencetuskan krisis kesihatan dan alam sekitar.

Mengikut data KKM, jumlah kumulatif pesakit yang dilaporkan adalah 5,039 dengan 1,228 orang dimasukkan ke wad sementara 3,811 yang lain diberi rawatan pesakit luar. Antara yang dimasukkan ke wad, 26 kes diletakkan di bawah Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pegawai itu berkata semua kes yang dimasukkan ke ICU atau Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) semasa kejadian diberikan temujanji susulan dengan pakar klinikal yang bersesuaian secara berkala.

A Fire and Rescue Department Hazmat unit at Sg Kim Kim during clean-up operations on Thursday. Toxic waste was illegally dumped there last week. – The Malaysian Insight pic by Nazir Sufari, March 16, 2019.

“Sebanyak 182 kanak-kanak dimasukkan ke hospital dan mereka akan diperiksa semula dalam tempoh satu hingga empat bulan selepas keluar.

“Pesakit kemudiannya akan dibenarkan ke klinik kerajaan terdekat untuk susulan jangka panjang.”

Semasa kejadian, sejumlah 111 buah sekolah di Pasir Gudang diarah tutup selepas pelajar sekolah mula jatuh sakit. Sekolah dibuka semula selepas penggal percutian pada 1 April.

Sumber itu berkata, mangsa pertama yang merupakan pelajar dari beberapa sekolah yang terletak 500 meter dari tempat kejadian dinilai secara berkala bagi sebarang kesan psikologi menggunakan alat saringan yang dikenali sebagai Children Revised Impact of Event Scale (CRIES 8).

“Skor CRIES 8 sebanyak 17 atau lebih memerlukan rujukan kepada Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan terdekat bagi intervensi atau rawatan awal.

“Lawatan ke rumah untuk menilai status kesihatan mental semasa pelajar yang terjejas dan sistem sokongan keluarga mereka akan dijalankan oleh Kumpulan Sokongan Kesihatan Mental dari klinik kesihatan terdekat.”

Sumber itu juga mengatakan kakitangan dari pelbagai agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana semasa kejadian itu dilihat sering dilihat di klinik kesihatan terdekat.

“Sampel darah diambil untuk analisis makmal pada tiga, enam dan 12 bulan kejadian untuk memastikan sebarang kesan kesihatan akibat pendedahan kimia dikesan lebih awal.”

Bagi kes berisiko tinggi seperti wanita hamil, mereka diberi dua pertemuan susulan mingguan.

Terdapat 14 ibu mengandung yang melibatkan rawatan susulan iaitu lapan kes di Klinik Kesihatan Pasir Gudang, lima di Masai dan satu di Taman Seri Orkid.

Lima ibu di bawah Klinik Kesihatan Pasir Gudang melahirkan bayi yang normal sejak bencana itu. – 1 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen