Trump kenakan tarif 5% atas barangan import Mexico


Presiden Donald Trump berkata tarif baharu sebanyak 5% untuk menekan Mexico agar negara itu menghentikan kebanjiran pendatang tanpa izin yang melintasi sempadan. – Gambar EPA, 31 Mei, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) akan mengenakan tarif baharu sebanyak 5% ke atas semua barangan import Mexico mulai 10 Jun, lapor agensi berita Xinhua.

Presiden Donald Trump berkata pada Khamis langkah itu untuk menekan Mexico agar negara itu menghentikan kebanjiran pendatang tanpa izin yang melintasi sempadan.

“Mulai 10 Jun, AS akan mengenakan 5% tarif ke atas semua barangan yang masuk ke negara kita dari Mexico, sehingga tiada lagi migran haram masuk melalui Mexico ke negara kita.

“Tarif itu kan dinaikkan secara beransur-ansur sehingga masalah imigran haram selesai,” tulis Trump di Twitternya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan White House pada Khamis petang mengatakan jika situasi di sempadan AS-Mexico masih tiada perubahan, tarif akan dinaikkan kepada 10% pada 1 Julai, 2019 dan jumlah itu akan dinaikkan dari semasa ke semasa.

Isu imigran sering menjadi pertikaian utama antara Trump dan Demokrat sejak beliau mula menjadi presiden. Beliau berulang kali mengancam Mexico dengan tarif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Andai Trump terus menaikkan kadar tarif, ia mungkin boleh menjejaskan perjanjian perdagangan antara AS-Mexico-Kanada.

Mexico pasaran eksport barangan kedua terbesar di AS pada 2018, menurut Pejabat Perwakilan Perdagangan AS. – Bernama, 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen