Korea Utara hukum pegawai terbabit dengan sidang kemuncak di Hanoi


Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dan Presiden AS Donald Trump mengadakan sidang kemuncak kedua di Hanoi pada Mac lalu bagi membincangkan isu program senjata nuklear. – Gambar fail EPA, 31 Mei, 2019.

PEJABAT presiden Korea Selatan mengambil pendekatan berhati-hati mengenai laporan kemungkinan beberapa pegawai Korea Utara yang terbabit dalam persediaan sidang kemuncak dengan Amerika Syarikat (AS) di Hanoi pada Mac lalu, dikenakan hukuman, lapor agensi berita Yonhap.

“Saya fikir tidak sesuai untuk terburu-buru memberikan sebarang kenyataan atau komen mengenai perkara itu,” kata jurucakap pejabat presiden, Ko Min-jung dalam taklimat media.

Akhbar tempatan melaporkan Korea Utara mengenakan hukuman mati ke atas Kim Hyok-chol, utusan khas untuk berbincang dengan AS berhubung sidang kemuncak itu, termasuk beberapa pegawai kementerian asing yang terlibat dalam persiapan sidang kemuncak kedua antara pemimpin Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump hujung Februari lalu.

Rundingan dua hari itu berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Pembantu kepada utusan khas itu, Kim Yong-chol dipercayai dihantar ke wilayah terpencil untuk menjalani hukuman kerja keras, memetik sumber enggan dikenali. – Bernama, 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen