PELE berjumpa bekas presiden AS Barack Obama di Sao Paulo semalam di mana-mana kedua-duanya berbincang bagaimana “untuk membuatkan dunia bertambah baik”, kata pemain bola sepak terkenal Brazil itu di Twitter.
Beberapa minggu selepas menjalani pembedahan membuang batu karang, Pele yang kelihatan sihat bergambar dengan Obama yang kemudiannya dikongsi di Twitter oleh pemenang tiga kali Piala Dunia itu.
“Berjumpa dengan Presiden Obama ketika beliau berada di bandar. Kami bercakap tentang bagaimana untuk bekerjasama menjadikan dunia bertambah baik,” kata Pele.
“Gembira berada dalam pasukan yang sama.”
Obama berada di Sao Paulo untuk sebuah konvensyen digital inovasi.
Pele, yang dianggap banyak pihak sebagai pemain bola sepak terhebat dalam sejarah, dimasukkan ke dalam sebuah hospital di Paris bulan lepas selepas menghadiri sebuah majlis bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe.
Beliau menghabiskan masa seminggu ditahan di hospital tersebut sebelum kembali ke Sao Paulo, dan dimasukkan ke sebuah hospital lain untuk merawat penyakit batu karangnya.
Pele, menang Piala Dunia bersama Brazil pada 1958, 1962 dan 1970 di Mexico mempunyai beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun lepas. – AFP, 31 Mei, 2019.
Komen