R Kelly berdepan 11 pertuduhan baharu jenayah seksual


Penyanyi berusia 52 tahun itu yang nama sebenarnya Robert Kelly, sudah pun berdepan dengan 10 pertuduhan jenayah, difailkan Februari lalu kerana jenayah seksual terhadap empat wanita. – Gambar EPA, 31 Mei, 2019.

PENDAKWA Raya Chicago semalam memfailkan 11 pertuduhan jenayah seksual terhadap penyanyi R&B terkenal R Kelly, dalam pertuduhan yang disifatkan peguamnya pembaharuan pertuduhan sebelum ini.

Penyanyi berusia 52 tahun itu yang nama sebenarnya Robert Kelly, sudah pun berdepan dengan 10 pertuduhan jenayah, difailkan Februari lalu kerana jenayah seksual terhadap empat wanita.

Dia menafikan kesemua pertuduhan dan menuduh penuduhnya menipu.

Pertuduhan terbaru itu adalah pembaharuan pertuduhan berkaitan salah seorang daripada penuduhnya dan bukan kes baharu, kata peguam Kelly, Steve Greenberg.

“Ini kesalahan sama, Cuma pertuduhan lain, mangsa sama, masa sama, fakta sama,” kata Greenberg di Twitter.

“Ia tidak mengubah apa-apa,” tambahnya.

11 pertuduhan baharu itu diterima juri agung di Chicago berkaitan dengan dakwaan serangan seksual yang berlaku pada Januari 2010 berkenaan seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai JP dalam dokumen mahkamah.

Tiga pertuduhan tersebut berkaitan dengan jenayah seksual ke atas seorang kanak-kanak berumur antara 13 dan 16 tahun.

Dalam pertuduhan itu, Kelly dituduh mengancam atau menggunakan kekerasan terhadap JP.

Penyanyi itu kini bebas dengan ikat jamin.

Dia akan dihadapkan ke mahkamah pada 6 Jun depan untuk berdepan pertuduhan baharu itu, lapor media AS.

Pejabat Pendakwa Raya Cook County yang mendakwa kes berkenaan bagaimanapun masih tidak membalas pertanyaan untuk ulasan kes.

Mac lalu, Lanita Carter tampil mengaku sebagai salah seorang daripada empat wanita dalam kes di Chicago dan satu-satunya dewasa ketika serangan berlaku.  

Dalam satu wawancara Mac lalu, Kelly berkeras menafikan semua tuduhan ke atasnya dan berkata dia sedang “berjuang” untuk hidupnya.

“Saya tak buat semua ini. Bukan saya,” kata Kelly kepada CBS News.

“Sama ada ia khabar angin lama, baru atau akan datang, tidak benar.” –  AFP, 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen