Saya digelar 'Bapa Pembangunan India', kata Najib


Yasmin Ramlan

Najib menggelarkan dirinya 'Bapa Pembangunan India' kerana beliau mengambil berat hal-hal berkaitan kaum India di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini menggelarkan dirinya sebagai “Bapa Pembangunan India” meskipun bukan berasal dari Kerala, seolah-olah merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata, ini kerana beliau mengambil berat hal-hal berkaitan kaum India di Malaysia.

“Walaupun bapa saya atau datuk saya bukan dari Kerala, tapi saya digelar bapa pembangunan India,” katanya ketika perhimpunan agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata demikian apabila mengingatkan semula kepada kaum India apa yang dilakukan oleh pembangkang terhadap kaum India.

Datuk kepada Dr Mahathir, Iskandar berasal dari Kerala dan berkahwin dengan Siti Hawa dari Johor yang melahirkan Mohamad (bapa kepada Mahathir) pada 1881 di Pulau Pinang.

Najib berkata di hadapan kira-kira 2,000 delegasi MIC itu, bahawa terdapat peningkatan dalam ekonomi Malaysia dan laporan dari PWC mencatatkan Malaysia dijangka menjadi di antara 24 ekonomi terbesar dunia menjelang 2050.

“Adakah bunyinya seperti negara kita gagal? Negara muflis? Seperti yang didakwa pembangkang yang menipu dan mengelirukan kita - mahu menanam benih kebencian. Tak membina langsung.

“Soalnya apa yang mereka lakukan kepada masyarakat India berbanding apa yang dilakukan BN (Barisan Nasional) lebih-lebih lagi setelah saya ambil alih kepimpinan negara sewaktu Abdullah Badawi menjadi perdana menteri.

“Dengan izin beliau saya mulakan jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal masyarakat India untuk terus majukan kedudukan kaum India yang saya sedar kalau tak ada intervensi, political will, mereka akan terabai dan akan dipinggirkan,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menceritakan bagaimana beliau mengambil peduli kepentingan kaum India ketika pelantikan ketua kastam dilakukan sebelum ini.

I don’t mind telling you. Bila nak lantik ketua pengarah Kastam pun susah. Saya terima petisyen, jangan lantik orang India jadi ketua pengarah Kastam. Saya kata, ‘tak boleh. Dia (T. Subromaniam) paling senior - dia layak’. Saya tetap dengan keputusan saya. Ketua pengarah Kastam orang India Malaysia. Ini kenyataan,” katanya. – 24 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen