Tentera laut Malta selamatkan 75 imigran tersangkut di sangkar tuna


Lebih 500 pendatang asing tiba di Malta tahun ini, sementara 1,425 berjaya tiba di Itali, yang mempunyai populasi tiga kali ganda lebih besar. – Gambar fail EPA, 30 Mei, 2019.

TENTERA laut Malta hari ini berkata ia menyelamatkan 75 pendatang asing yang ditemui bergayut di sangkar ikan tuna sementara cuba menyeberangi lautan Mediterranean.

Usaha menyelamat itu dilakukan di pantai Libya lewat semalam dan semua pendatang berkenaan akan dibawa ke Malta, kata tentera Malta dalam satu kenyataan.

Katanya, ia mengendalikan operasi menyelamat bersama dengan pengawal pantai Itali dan sokongan pengawal pantai Libya.

Malta sebelum ini merayu bantuan Kesatuan Eropah dalam mengendalikan kebanjiran pendatang asing, di mana negara jiran yang lebih besar iaitu Itali mula berpaling.

Pulau dengan 450,000 populasi itu menjadi destinasi biasa kepada pendatang asing yang cuba merentasi Mediteranean dari Afrika Utara, dan pendirian tegas Itali meningkatkan lagi tekanan kemasukan pendatang asing.

Lebih 500 pendatang asing tiba di Malta tahun ini, sementara 1,425 berjaya tiba di Itali, yang mempunyai populasi tiga kali ganda lebih besar.

Angka Organisasi Antarabangsa untuk Pendatang Asing menunjukkan 24,687 orang berjaya tiba di Eropah tahun ini setakat ini, jumlah lebih rendah iaitu sekitar sejuta orang pada 2015 dan 144,000 tahun lalu.

Antara negara anggota EU, Sepanyol paling ramai menerima pendatang asing tahun lalu, iaitu sekitar 65,000. – AFP, 30 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen