Perbicaraan kes Rosmah ditetapkan pada Februari dan Mei 2020


Bede Hong

Bekas pembantu Rosmah Mansor, Rizal Mansor berdepan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya serta Rosmah berjumlah RM5.5 juta untuk projek solar sekolah luar bandar di Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mei, 2019.

PERBICARAAN bersama kes Rosmah Mansor dan bekas pembantunya Rizal Mansor melibatkan projek solar untuk sekolah luar bandar Sarawak akan bermula Februari tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 6 hingga 9 April, 13 hingga 15 Mac, 20 hingga 23 Mac dan 27 hingga 30 Mac.

Hakim hari ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk menggabungkan perbicaraan kes Rosmah dan Rizal serta menetapkan pengurusan kes pada 6 Januari.

Rosmah didakwa dengan tiga pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta dalam sogokan bagi projek hybrid solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal berdepan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya serta Rosmah berjumlah RM5.5 juta untuk projek sama.

Rosmah juga akan berdepan perbicaraan jenayah lain melibatkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan cukai.

Hakim menetapkan tarikh perbicaraan pada 11 hingga 14 Mei, 18 hingga 21 Mei, 29 hingga 2 Julai, 6 hingga 9 Julai dan 13 hingga 16 Julai.

Perbicaraan pada Oktober adalah bagi kes 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.1 juta dan lima tuduhan kerana gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hari ini Rosmah diwakili Manjeet Singh Dhillon, K Kumaraendran dan Jagjit Singh. Pendakwa raya diketuai Gopal Sri Ram.  – 30 Mei, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen