PUTRAJAYA perlu membentangkan draf rang undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kepada kumpulan persatuan sivil sebelum ia dibentangkan di Parlimen, kata Majlis Peguam hari ini.
Pengerusi Bersama pasukan petugas khas Majlis Peguam berkenaan IPCMC M. Ramachelvam berkata butiran tentang RUU itu penting, walaupun jika kumpulan berkenaan menyokong IPCMC.
“Kami berharap IPCMC akan menjadi realiti tidak lama lagi. Pagi ini kami berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Pejabat Peguam Negara, kumpulan persatuan sivil, Amnesty International dan wakil daripada kumpulan pesara pegawai polis.
“Kami faham RUU itu masih dimuktamadkan oleh kerajaan. Kami menyeru kerajaan sebelum RUU itu dibentangkan, beri pihak berkepentingan yang berkenaan membincangkannya,” katanya kepada wartawan selepas perbincangan meja bulat tentang IPCMC anjuran Majlis Peguam hari ini.
Beliau berkata walaupun beberapa kebimbangan dibangkitkan ketika perbincangan itu, semua yang hadir menyokong penubuhan badan pemantau polis itu.
Bagaimanapun, majoriti pegawai polis tidak berpihak kepada IPCMC, kata seorang lagi ahli pasukan itu, Sivaraj Retinasekharan.
Ia dibangkitkan ketika perbincangan meja bulat oleh persatuan pesara polis.
“Persatuan pesara polis berkata mereka masih tidak mendapat sokongan majoriti pegawai polis dalam pasukan itu, walaupun ketua polis negara bersetuju.
“Kami setuju untuk membetulkan salah tanggapan dalam kalangan pegawai polis dan kami mahu menangani kebimbangan anggota polis.
“Draf baharu IPCMC akan melihat kepada salah laku yang jahat,” kata Sivaraj. – 30 Mei, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen