PRESIDEN Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa pada Rabu malam melantik 50 peratus wanita menyertai barisan kabinet baharunya, lapor agensi berita Anadolu.
“Buat pertama kali dalam sejarah negara, separuh daripada keseluruhan menteri adalah wanita,” katanya dalam satu siaran televisyen.
Ramaphosa berkata bilangan menteri dikurangkan daripada 36 kepada 28 dengan menggabungkan beberapa jawatan sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan selain untuk meningkatkan kecekapan.
Ramaphosa, 66, mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu sebagai presiden keenam Afrika Selatan yang dipilih secara demokratik.
Beliau berikrar untuk memperbaiki keadaan ekonomi yang merosot, mewujudkan pekerjaan dan menghapuskan rasuah.
Dalam kabinet baharunya, sebahagian besarnya terdiri golongan muda, paling mengejutkan apabila beliau melantik pemimpin parti pembangkang Patricia De Lille sebagai Menteri Kerja Raya dan Infrastruktur.
“Lantikan dibuat selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk pengalaman, kecekapan dan kepelbagaian demografi,” katanya.
Bekas aktivis anti-apartheid dan pemimpin kesatuan sekerja itu turut mengekalkan Tito Mboweni sebagai Menteri Kewangan dan Pravin Gordan memegang portfolio Menteri Perusahaan Awam.
Kedua-duanya terkenal kerana usaha mereka memerangi rasuah dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Turut dikekalkan David Mabuza sebagai timbalan presiden dan melantik Naledi Pandor sebagai menteri perhubungan dan kerjasama antarabangsa. – Bernama, 30 Mei, 2019.
Komen