PM gesa keamanan jadi asas orde baharu


Bede Hong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada ucaptamanya di Tokyo pagi tadi berkata orde baharu hanya boleh dicapai menerusi penyelesaian konflik di meja rundingan. – Gambar AFP, 30 Mei, 2019.

ORDE baharu hanya boleh dicapai menerusi penyelesaian konflik di meja rundingan dan bukan dengan meningkatkan kemampuan serangan bagi mencederakan negara lain, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucaptamanya pada pembukaan Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-25 di Tokyo pagi ini, Dr Mahathir berkata pemimpin negara yang menggunakan keganasan adalah tidak bertamadun dan berada dalam “zaman primitif”.

“Kita perlukan orde baharu. Kita ada beberapa orde baharu, tetapi ia nampaknya gagal. Dan ia gagal kerana kita masih lagi agak primitif. Kita masih secara relatifnya tidak bertamadun,” katanya di Persidangan Nikkei.

“Kita fikir konflik boleh diselesaikan menerusi konfrontasi dan perang, menerusi kemusnahan dan membunuh orang.

“Adakah kita selalu kembali kepada sejarah dan berkata, ‘dulu kita musuh dan maka itu kita sepatutnya terus jadi musuh’. Kita sepatutnya terus berdepan satu sama lain, dan jika perlu, pergi berperang dengan satu sama lain’.

“Kita perlu ikut contoh Jerman dan Perancis. Kita perlu selesaikan masalah bukan menerusi perang, tetapi rundingan, timbang tara dan mahkamah undang-undang. Jika anda buat begitu, maka dunia akan jadi lebih stabil.”

Dr Mahathir berkata negara yang terus berpegang kepada konflik lampau menyumbang kepada ketidaktentuan dunia, merujuk kepada perang antara negara-negara di Eropah, Timur Tengah dan Asia.

Beliau bercakap tentang tahun-tahun awal Asean, di mana wujud “konfrontasi serius” antara Malaysia dan Indonesia.

Tetapi, katanya itu perkara lepas dan hari ini, Asean satu perkumpulan aman terdiri daripada 10 negara.

“Kita masih berfikir tentang perang antara China dan negara lain, sekarang China jadi kaya dan berkuasa. Ketika ia miskin, kita takut China, sekarang ia kaya, kita masih juga takut China.

“Tetapi masalah dengan China tidak boleh diselesaikan menerusi konfrontasi, menerusi penghantaran kapal perang ke kawasannya dan menjalankan eksais yang mungkin menyebabkan konfrontasi yang semakin tegang.”

Dr Mahathir juga menggunakan Malaysia sebagai contoh kerajaan yang boleh berubah tanpa “korban nyawa”, merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-14 ketika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

“Rakyat keluar beramai-ramai dan menunjukkan mereka mahu perubahan, dan sekarang pembangkang adalah kerajaan. Malaysia mengubah kerajaannya tanpa keganasan.” – 30 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen