Arab Saudi gesa negara Islam tolak ‘campur tangan’ Iran


Menteri Luar Arab Saudi Ibrahim al-Assaf menyelar campur tangan Iran di rantau itu, hanya beberapa jam selepas AS berkata Tehran hampir pasti dalang serangan terhadap kapal tangki minyak itu. – Gambar AFP, 30 Mei, 2019.

ARAB Saudi menagih sokongan dalam kalangan negara Islam menentang Iran, menggesa “ketegasan” berhubung serangan ke atas kapal tangki minyak negara Teluk itu menjelang tiga sidang kemuncak, ketika ketegangan di rantau itu semakin teruk.

Menteri Luar Ibrahim al-Assaf menyelar campur tangan Iran di rantau itu, hanya beberapa jam selepas Penasihat Keselamatan Negara AS John Bolton berkata Tehran hampir pasti dalang serangan terhadap kapal tangki minyak itu.

Pendirian tegas itu dinyatakan sehari sebelum sidang kemuncak kecemasan Arab dan Teluk yang digesa diadakan oleh AS – sekutu Arab Saudi untuk membincangkan cara mengasingkan Tehran di sebalik ketakutan terhadap peningkatan ketenteraannya.

“Sokongan Tehran kepada pemberontak Huthi di Yaman adalah bukti campur tangan Iran di negara lain dan ini sesuatu yang negara Islam patut tolak,” kata Assaf pada perhimpunan menteri luar 57 negara OIC di Jeddah.

Assaf berkata serangan di kilang simpanan minyak itu perlu ditangani dengan “ketegasan dan kesungguhan”.

Dua kapal tangki minyak antara empat kapal yang menjadi sasaran serangan misteri pada 12 Mei – yang menyebabkan penutupan sementara saluran paip minyak terbesar itu. – AFP, 30 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen