21 maut dalam kemalangan ngeri di Mexico


Punca kemalangan kerana brek gagal berfungsi, menyebabkan bas dan trak bertembung sehingga terbakar. – Gambar AFP, 30 Mei, 2019.

SEBUAH trak dan bas membawa penumpang yang baharu selesai menjalani ritual Katolik bertembung dan terbakar hari ini di timur Mexico, membunuh sekurang-kurangnya 21 orang, kata pegawai.

Tiga puluh orang lagi cedera.

Kebanyakan mangsa baharu selesai menjalani ritual agama di negeri selatan Chiapas dalam perjalanan balik ke Bandar Mexico untuk sembahayang di Gereja Virgin of Guadalupe, kata Ketua Perkhidmatan Perlindungan Awam Negeri Veracruz Guadalupe Osorno.

“Pakar forensik yang tiba di tempat kejadian melaporkan 17 mayat penumpang bas, dua lagi pula maut dalam trak itu,” katanya.

“Seorang lagi meninggal ketika tiba di hospital, dan seorang lagi yang cedera parah turut meninggal dunia.”

Kemalangan berlaku di lebuh raya di kawasan Maltrata, di mana jalan raya melalui puncak gunung setinggi 2,000 meter daripada paras laut.

Pegawai kecemasan berkata brek salah sebuah kenderaan itu gagal berfungsi menyebabkan ia terhumban dan melanggar kenderaan lain, menyebabkan kedua-duanya meletup.

Pada 2006, lebih 50 penganut Kristian maut di kawasan sama apabila bas dinaiki mereka terhumban masuk gaung. Pihak berkuasa berkata punca kemalangan kerana kegagalan brek. – AFP, 30 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen