KADRI Gursel, antara wartawan pembangkang terkenal di Turki dihantar semula ke penjara hari ini selepas mahkamah rayuan mengekalkan hukumannya kerana “membantu kumpulan pengganas”, kata peguamnya.
Gursel disabitkan atas kesalahan tersebut pada tahun lalu bersama beberapa rakan sekerja dari Cumhuriyet, salah satu daripada beberapa akhbar yang menentang Presiden Recep Tayyip Erdogan. Mereka didakwa sebagai tindakan keras terhadap orang ramai yang menyertai cubaan rampasan kuasa pada 2016.
Beliau dihukum penjara dua tahun setengah tetapi kemudian dibebaskan sementara menunggu rayuan.
Menerusi catatan di akaun Instagramnya hari ini, Gursel berkata beliau tiba di mahkamah “untuk dihantar semula ke penjara” selepas dipenjarakan selama 11 bulan antara 2016 dan 2017.
Peguamnya kemudian mengesahkan beliau kini berada dalam penjara sambil menambah tidak tahu berapa lamakah wartawan itu akan dipenjarakan.
Gursel dipenjarakan semula meskipun Mahkamah Perlembagaan Turki pada bulan ini memutuskan bahawa hak kebebasan dan keselamatan diri Gursel telah dinafikan.
“Selepas mengambil kira semua perkara termasuk keputusan Mahkamah Perlembagaan, Kadri Gursel mesti dibebaskan dengan segera,” kata peguamnya.
Gursel yang sudah 30 tahun menjadi wartawan dan kolumnis, menulis untuk akhbar terkemuka seperti Milliyet, dan bekerja di AFP antara 1993 dan 1997.
Mahkamah rayuan di Istambul awal tahun ini sebulat suara meluluskan hukuman ke atas kakitangan Cumhuriyet, termasuk kartunis Musa Kart yang dipenjarakan semula pada bulan lalu. – AFP, 29 Mei, 2019.
Komen