Kerajaan New Zealand ikrar tangani isu ketagihan, kesihatan mental


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata, kerajaan New Zealand hari ini berikrar untuk mengambil serius isu ketagihan dan kesihatan mental dalam input belanjawan baharu dan pelaburan mapan. – Gambar EPA, 29 Mei, 2019.

KERAJAAN New Zealand hari ini berikrar untuk mengambil serius isu ketagihan dan kesihatan mental dalam input belanjawan baharu dan pelaburan mapan, lapor agensi berita China Xinhua.

Laporan satu inkuiri mengenai ketagihan dan kesihatan mental yang ditugaskan kerajaan New Zealand telah dikeluarkan dan kerajaan menerima secara prinsip atau bersetuju untuk mempertimbang lebih lanjut 38 daripada 40 syor panel siasatan.

Syor panel siasatan itu disifatkan oleh Perdana Menteri Jacinda Ardern sebagai “transformasi” meliputi peningkatan akses kepada perkhidmatan bagi menangani isu ketagihan dan kesihatan mental yang dibiayai orang awam dengan keperluan sederhana sehinggalah memansuh dan menggantikan Akta Kesihatan Mental (Rawatan dan Penilaian Wajib) 1992.

“Kita perlu membina perkhidmatan baharu, melatih beratus-ratus kakitangan baharu dan membina fasiliti baharu di seluruh New Zealand.

“Semua ini memerlukan pelaburan yang signifikan dan mapan, bermula dengan Belanjawan Kesejahteraan esok namun akan mengambil masa bertahun-tahun,” katanya.

Menteri Kesihatan David Clark berkata, sudah terlalu lama kesihatan mental dianggap sebagai kurang penting berbanding kesihatan fizikal dan perkara itu harus berubah.

“Membantu dan mengekalkan kesejahteraan mental rakyat harus menjadi sebahagian daripada rutin harian perkhidmatan kesihatan kita,” katanya.

Pembiayaan belanjawan terperinci bagi ketagihan dan kesihatan mental akan diumum bersama-sama belanjawan 2019 kerajaan pada Khamis ini. – Bernama, 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen