Uzbekistan guna pakai program anti-rasuah Ogos ini


Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev telah melaksanakan pelbagai pembaharuan ekonomi untuk menjadikan negara Asia Tengah itu menarik kepada pelabur asing dan menggalakkan pengeluar domestik meningkatkan eksport sejak beliau berkuasa selepas pilihan raya presiden pada 2016. – Gambar EPA, 29 Mei, 2019.

UZBEKISTAN akan melaksanakan pelbagai langkah anti-rasuah untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang menggalakkan dan mempromosi imej negara itu di luar negara dalam usaha menarik pelabur asing, lapor agensi berita China Xinhua memetik dekri presiden yang disiarkan hari ini.

Langkah itu diguna pakai dalam program anti-rasuah setahun yang bermula pada Ogos ini termasuk kebebasan sistem kehakiman, melaksanakan amalan mengisytiharkan pendapatan oleh penjawat awam serta meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan aktiviti badan-badan kerajaan.

Dekri itu juga menyebut bahawa institusi masyarakat sivil dan media massa akan diberikan “kebebasan sejati” untuk memantau pelaksanaan langkah anti-rasuah.

Menurut program itu, kerajaan Uzbekistan akan melaksanakan satu projek percubaan dalam sektor pembinaan dan pendidikan yang membabitkan pakar asing.

Projek serupa akan turut dilaksana dalam sektor ekonomi dan sosial lain mulai April 2020, menurut dokumen itu.

Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev telah melaksanakan pelbagai pembaharuan ekonomi untuk menjadikan negara Asia Tengah itu menarik kepada pelabur asing dan menggalakkan pengeluar domestik meningkatkan eksport sejak beliau berkuasa selepas pilihan raya presiden pada 2016. – Bernama, 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen