Shafee berpuas hati dengan perbicaraan SRC International


Bede Hong

Peguam bela utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukannya telah membuktikan apa yang sebenarnya mereka mahu buktikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Mei, 2019.

PEGUAM bela utama Najib Razak hari ini berkata beliau berpuas hati dengan cara perbicaraan kes SRC International dikendalikan setakat ini, termasuk beberapa keterangan dari saksi.

Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukannya telah membuktikan apa yang sebenarnya mereka mahu buktikan.

“Tidak semua, hanya sebahagian, menerusi saksi-saksi. Pada pandangan kami, perbicaraan setakat ini berjalan dengan baik,” beliau memberitahu pemberita selepas perbicaraan hari ini.

Menurut Shafee, perbicaraan kes SRC International baru melibatkan satu pertiga daripada senarai saksi.

“Saksi utama belum tiba,” tambahnya.

Perbicaraan yang dikendalikan oleh Hakim Mohd Nazlan Ghazali akan bersambung semula pada 10 Jun.

Pendakwa setakat ini telah memanggil 38 saksi. Pendakwa ‘ad hoc’ V. Sithambaram awal bulan ini memberitahu mahkamah pasukannya masih mempunyai 40 saksi yang belum dipanggil.

Shafee mengambil perhatian keterangan Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman yang hari ini memberitahu mahkamah bahawa Najib terkejut dan sangat kecewa apabila dimaklumkan yang dana dari entiti kerajaan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

“Apabila dia beritahu (bekas) perdana menteri, dia nampak air muka perdana menteri berubah. Beliau terkejut. Beliau kecewa duit yang tak sepatutnya masuk ke dalam akaunnya, dimasukkan di situ,” kata Shafee.

“Dia kata ekspresi itu bukan dibuat-buat. Hingga dia minta maaf pada perdana menteri kerana merasakan gagal memaklumkan terlebih dahulu perkara ini.

“Dia kata, dari air muka perdana menteri, dia tahu perdana menteri tak tahu, tentang duit itu atau tentang duit itu masuk ke akaunnya.” – 29 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen