‘Eggboy’ derma semua sumbangan kepada mangsa Christchurch


William Connolly yang diberi gelaran “Eggboy” menjadi tajuk berita utama dunia apabila memecahkan telur di atas kepala Fraser Anning pada sidang akhbar selepas insiden keganasan melibatkan 51 jemaah di dua masjid di Christchurch. – Gambar EPA, 29 Mei, 2019.

REMAJA Australia yang memecahkan telur di atas kepala senator gara-gara memberikan komen mengenai serangan masjid Christchurch telah mendermakan hampir AUS$ 100,000 (RM290,500) kepada mangsa insiden berkenaan.

William Connolly yang diberi gelaran “Eggboy” menjadi tajuk berita utama dunia apabila memecahkan telur di atas kepala Fraser Anning pada sidang akhbar selepas insiden keganasan melibatkan 51 jemaah di dua masjid di Christchurch.

Anning yang hilang kerusi di Parlimen Australia pada pilihan raya baru-baru ini mencetuskan kemarahan dengan mendakwa serangan di New Zealand itu berpunca dari penghijrahan umat Islam ke negara itu.

Dua laman GoFundMe yang ditubuhkan untuk mengutip sumbangan bagi membiayai bayaran guaman membela Connolly dan ‘membeli lebih banyak telur’ segera menarik sumbangan ribuan dolar.

Connolly menulis dalam akaun Instagram lewat semalam bahawa beliau memutuskan untuk menderma kesemua wang bagi membantu mangsa insiden itu kerana wang itu bukan miliknya.

“Akhirnya!!! Selepas karenah birokasi yang panjang, AUS$99,992.36 (RM290,457.95) sudah dipindahkan ke Yayasan Christchurch dan Sokongan Mangsa.

“Kepada mangsa tragedi, saya berharap dengan sepenuh hati ini akan memberi sedikit kelegaan. Terus sebarkan kasih sayang,” katanya.

Connolly pada April lalu dibebaskan dengan amaran polis susulan insiden itu. – AFP, 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen