POLIS Bangladesh hari ini memfailkan dakwaan terhadap 16 orang termasuk pengetua sebuah sekolah Islam berhubung pembunuhan seorang gadis berusia 19 tahun yang dibakar sehingga mati.
Pembunuhan Nusrat Jahan Rafi bulan lalu mencetuskan bantahan di seluruh Bangladesh dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina berjanji akan mendakwa kesemua yang terlibat dalam kes berkenaan.
Ketika kejadian Rafi diminta ke bumbung sekolah yang dihadirinya dan penyerang memintanya menarik semula aduan gangguan seksual yang difailkan terhadap pengetua.
Apabila mangsa enggan, Rafi disimbah dengan minyak tanah dan dibakar.
Mangsa meninggal dunia lima hari kemudian sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh negara.
Biro Siasatan Polis Bangladesh berkata, mereka akan memfailkan kertas pertuduhan di mahkamah di selatan negara itu hari ini terhadap 16 orang termasuk dua pelajar perempuan sekelas dengan Rafi.
Ketua penyiasat Muhammad Iqbal berkata, kesemua mereka dituduh menurut Undang-Undang Penindasan Wanita dan Kanak-Kanak serta akan mencadangkan hukuman mati.
Pada hujung Mac lalu Rafi telah membuat laporan polis atas gangguan seksual yang dibuat oleh gurunya dan video yang tersebar menunjukkan ketua polis tempatan mendaftar aduannya tetapi menolaknya sebagai “bukan masalah besar”.
Iqbal berkata, sekurang-kurangnya lima orang termasuk tiga pelajar sekelas Rafi telah mengikatnya dengan selendang sebelum membakarnya.
Rafi menderita luka terbakar sehingga 80 peratus di tubuhnya dan meninggal dunia di hospital pada 10 April.
Abang Rafi Mahmudul Hasan Noman berkata pihaknya mahu kesemua suspek dihukum mati. – AFP, 29 Mei, 2019.
Komen