Amnesty dakwa tentera Myanmar lakukan jenayah perang baharu di Rakhine


Amnesty International hari ini berkata menemui "bukti baharu" bahawa tentera Myanmar kini "melakukan jenayah perang dan melanggar hak asasi manusia" terhadap etnik Rakhine. – Gambar AFP, 29 Mei, 2019.

TENTERA Myanmar bersalah kerana melakukan “jenayah perang” baharu, pembunuhan tidak adil dan penyeksaan dalam pertempuran dengan pemberontak etnik Rakhine, kata Amnesty International.

Ribuan tentera dan senjata berat ditempatkan di seluruh Rakhine utara beberapa bulan lalu di kawasan pemberontak Tentera Arakan (AA) berjuang mendapatkan lebih autonomi ke atas etnik Rakhine.

Tentera juga menjalankan tindakan keras terhadap masyarakat Islam Rohingya pada 2017 di Rakhine, menyebabkan 740,000 orang etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Penyiasat PBB menyifatkan ia sebagai waran kepada jeneral tertinggi tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Amnesty hari ini berkata menemui “bukti baharu” bahawa tentera Myanmar kini “melakukan jenayah perang dan melanggar hak asasi manusia” terhadap etnik Rakhine. Ia menyenaraikan pembunuhan tidak adil, tangkapan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan kehilangan paksa.

Jalan masuk ke kawasan konflik itu juga sangat terhad namun butiran mengenai kematian orang awam muncul sejak beberapa minggu dan bulan lalu.

Bagaimanapun, tentera mengesahkan telah menembak mati enam tahanan di kampung Kyauk Tan pada bulan lalu.

Laporan Amnesty adalah berdasarkan kepada temubual bersama orang ramai daripada pelbagai etnik, foto, video dan imej satelit.

Ia mencatatkan tujuh serangan menyalahi undang-undang yang membunuh 14 orang awam dan berpuluh lagi cedera. Laporan juga menyebut unit infantri dikerah untuk melawan etnik Rakhine.

Beberapa orang Islam Rohingya yang tinggal di kawasan itu juga dibunuh. – AFP, 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen