Huawei mohon mahkamah AS batal sekatan terhadap produknya


Huawei akan memohon kepada mahkamah AS untuk memansuhkan undang-undang yang melarang agensi persekutuan membeli produknya. – Gambar EPA, 29 Mei, 2019.

HUAWEI hari ini berkata syarikat gergasi teknologi itu akan memohon kepada mahkamah Amerika Syarikat (AS) untuk memansuhkan undang-undang yang melarang agensi persekutuan membeli produknya.

Syarikat itu dijangka memfailkan usul untuk ringkasan penghakiman hari ini, kata pegawai perundangan syarikat itu Song Liuping dalam satu kenyataan disiarkan stesen televisyen China, CCTV.

“RUU itu secara langsung menetapkan Huawei bersalah dan mengenakan sejumlah besar sekatan terhadap Huawei,” kata Song.

Syarikat itu memfailkan saman terhadap RUU AS pada Mac, pada masa itu berkata Kongres AS gagal memberikan bukti untuk menyokong sekatannya terhadap produk Huawei.

Usul ringkasan penghakiman itu bertujuan mendapatkan keputusan hakim tanpa perlu perbicaraan penuh.

“Diharapkan mahkamah AS akan mengisytiharkan sekatan terhadap Huawei tidak mengikut perlembagaan dan melarang penguatkuasaannya,” kata Song.

Kes itu difailkan susulan Huawei turut berdepan perintah eksekutif lebih luas yang menghalang penggunaan peralatan Huawei di AS dan lebih teruk lagi AS bertindak menyenaraihitamkan syarikat itu.

Washington mendakwa sistem Huawei mungkin dimanipulasikan oleh Beijing untuk mengintip negara lain dan mengganggu komunikasi kritikal. – AFP, 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen