PENDUDUK Ohio mula pulang ke rumah masing-masing yang musnah selepas puting beliung melanda negeri itu semalam dan menyebabkan seorang maut.
Timbalan ketua bomba Nicholas Hosford memberitahu ABC News, kejadian puting beliung itu mengakibatkan bekalan elektrik terputus, dan menjejaskan 80,000 penduduk.
“Banyak rumah penduduk rosak teruk, manakala kompleks pangsapuri dan premis perniagaan musnah.
“Saya rasa tiada penduduk yang betul-betul bersedia untuk berdepan dengan kemusnahan seperti ini,” kata Hosford.
Pentadbiran Oseanografi dan Atmosfera Kebangsaan berkata ia antara 52 puting beliung yang melanda lapan negeri di Amerika Syarikat pada malam Isnin lalu.
Sementara itu, pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa selamat dengan mengadakan operasi dari rumah ke rumah, khususnya di Dayton yang terjejas teruk dalam kejadian itu.
Hosford berkata pihaknya masih belum menerima laporan mengenai mangsa yang terkorban atau cedera di Dayton.
Datuk Bandar Celina Jeffrey Hazel berkata mangsa yang terbunuh adalah lelaki berusia 81 tahun.
“Beliau terkorban selepas sebuah kereta merempuh rumahnya,” kata Hazel. – AFP, 29 Mei, 2019.
Komen