KEMEROSOTAN ekonomi menyebabkan tidak ramai rakyat Malaysia melancong ke luar negara pada cuti Hari Raya ini kerana kemelesetan, kata ejen pelancongan.
Orang Melayu lebih suka menghabiskan cuti di kampung halaman disebabkan ekonomi negara yang lemah dan peruntukan terhad, kata Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) (Pelancongan Keluar) Shamsulnida Mudari.
Biasanya, golongan Melayu berpendapatan pertengahan dan ke atas akan ke luar negara tetapi jumlah itu menurun tahun ini, katanya.
“Pelancongan Raya belum lagi menjadi trend kerana kebanyakannya lebih suka pulang ke kampung halaman. Ketika ekonomi baik, hanya keluarga kelas pertengahan dan kelas atasan akan mempertimbangkan pergi ke luar negara,” kata Shamsulnida kepada The Malaysian Insight.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Musa Yusuf berkata walaupun agensi itu tidak mempunyai sebarang statistik mengenai perjalanan sewaktu “perayaan”, ia dipercayai popular di kalangan orang Melayu.
Pilihan pertama mereka adalah pulang ke kampung sebelum bercuti ke destinasi dalam atau luar negara.
“Ada yang memendekkan perjalanan mereka balik ke kampung kerana mempunyai anak atau sanak saudara di luar negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Australia, dan lain-lain. Jadi mereka akan pergi ke luar negara untuk melawat saudara-mara semasa musim perayaan,” katanya.

Percutian luar negara
Menurut AirAsia X, lima laluan antarabangsa paling popular tahun lepas semasa cuti Hari Raya adalah Taipei, Busan, New Delhi, Perth dan Pulau Jeju di Korea. Tetapi kerana ekonomi yang lemah, ini tidak lagi berlaku, kata Shamsulnida.
“Pada dasarnya, orang Melayu yang memilih untuk pergi ke luar negara semasa Raya biasanya tidak mempunyai saudara yang ramai, atau mereka berada di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan mereka akan mengambil peluang berjalan ke luar negara.
“Tetapi pelanggan saya sendiri tidak begitu. Kebanyakan mereka pergi ke Asia atau Australia dan purata jadual perjalanan kira-kira empat hingga lima hari.”
Ahmad, perunding syarikat Isra Travel berkata berbanding dengan tahun lepas, tempahan 30% lebih rendah pada musim Hari Raya ini.
“Ia 30% lebih rendah daripada tahun lepas (perolehan). Tahun ini, kami menerima kira-kira 40 pelanggan, semuanya pergi ke Vietnam, Korea Selatan dan Australia. Kebanyakan daripada mereka sudah menempah lebih awal. “
Ahmad juga berkata kebanyakan pelanggan masih akan pulang ke rumah pada raya pertama dan kemudian ke luar negara selepas itu.
Satu lagi cara untuk merayakan Hari Raya dan mengambil kesempatan daripada cuti perayaan yang panjang adalah pergi ke Mekah, Arab Saudi untuk menunaikan umrah.
Shamsulnida berkata walaupun kos umrah semasa bulan puasa lebih tinggi, ada orang Islam yang memilih ke sana pada masa ini.
“Firma saya menerima sejumlah 30 orang dari satu kumpulan tahun ini. Semasa cuti Hari Raya, saya ke Mekah untuk menunaikan umrah dan merayakannya dan ia berasa berbeza.
“Tetapi pada bulan puasa, penginapan hotel di Mekah seperti biasa beberapa kali lebih mahal. Berdasarkan jadual perjalanan asas selama 12 hari, kosnya kira-kira RM8,000 dan beberapa pakej lebih bagus boleh mencecah RM10,000. – 31 Mei, 2019.
Komen