Waran tangkap untuk sami Buddha benci Rohingya


Polis Myanmar keluar waran tangkap terhadap sami ‘Bin Laden Buddha’ atau Wirathu dalam kes membabitkan kebenciannya terhadap Islam dan Rohingya. – Gambar EPA, 29 Mei, 2019.

POLIS Myanmar mengeluarkan waran tangkap petang semalam terhadap seorang sami yang dikenali sebagai “Bin Laden Buddha” kerana kebenciannya terhadap Islam dan khususnya masyarakat Muslim Rohingya.

Wirathu sekian lama menjadi wajah gerakan nasionalis Buddha di negara itu, terkenal kerana mencetuskan kebencian terhadap Rohingya.

Waran difailkan dan dimohon secara terus di mahkamah daerah di barat terhadapnya di bawah Artikel 124(a), kata jurucakap polis Myo Thu Soe.

Katanya, beliau tidak dapat memberikan butiran khusus sebab permohonan waran itu.

Undang-undang melarang sesiapa pun mencetuskan kebencian atau menghina, atau cubaan memulakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, dan hukuman penjara tiga tahun boleh dikenakan.

Biara Wirathu di Mandalay tetapi semalam, keberadaannya tidak diketahui atau bila beliau mungkin ditahan.

Pada 2013, beliau tampil di muka depan majalah Time sebagai “Wajah Pengganas Buddha”.

Beliau mendesak boikot perniagaan milik Muslim dan sekatan perkahwinan antara Buddha dan Islam.

Ahli majlis sami kanan pernah menghalangnya bercakap kepada umum buat sementara waktu tetapi sami itu berucap pada perhimpunan pro tentera memandangkan sekatan terhadapnya tamat Mac tahun lalu.

Facebook juga menyekatnya menggunakan platform itu pada Januari 2018 kerana terus-terusan memuat naik post menyasarkan Rohingya.

Kumpulan hak asasi manusia berkata tindakan terhadap Wirathu itu dapat membantu mencari asas atas tindakan keganasan tentera pada 2017 yang menyebabkan kira-kira 740,000 Rohingya melarikan diri ke sempadan ke Bangladesh.

Seperti kebanyakan di Myanmar, Wirathu selamba merujuk masyarakat minoriti itu sebagai “Bengali”, menunjukkan mereka kumpulan pendatang haram. – AFP, 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen