WAKIL rakyat di Argentina semalam melancarkan permohonan baharu untuk menjadikan pengguguran kandungan sah di sisi undang-undang dan menyambung semula pertelagahan yang memecahkan negara kelahiran Pope Francis itu, menjelang pilihan raya pada Oktober.
Sejumlah besar orang ramai – kebanyakannya wanita muda berpakaian warna hijau, warna membawa simbol pergerakan mereka – berkumpul di luar bangunan Kongres di Buenos Aires sejak awal petang untuk menyokong rang undang-undang (RUU) itu.
Tahun lalu RUU untuk mendiskriminasikan pengguguran sehingga minggu ke-14 kandungan diterima di Dewan Timbalan tetapi tewas di peringkat Senat, di bawah tekanan kuat daripada Gereja Katolik yang masih berkuasa.
RUU baharu itu dibawa oleh 15 wakil rakyat daripada pelbagai parti, termasuk parti Presiden Mauricio Macri, gabungan Cambiemos dan parti pembangkang.
Penunjuk perasaan merancang mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menandakan kebangkitan semula kempen mereka, berharap pengakhiran lebih baik tahun ini. Protes sama dirancang diadakan di beberapa bandar seluruh Argentina.
“Semua orang perlu mampu buat keputusan dengan bertanggungjawab. Menggugurkan kandungan bukan mudah, tetapi perlu ada undang-undang yang membenarkan mereka melakukannya,” kata Noelia Patruno, 40. – AFP, 29 Mei, 2019.
Komen