MALAYSIA berdepan kehilangan lebih ramai graduan Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada negara luar akibat jurang dalam tangga gaji ditawarkan syarikat tempatan, kata Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom).
Pikom yang menerbitkan laporan ramalan pasaran kerja ICT 2019 semalam, berkata walaupun ICT antara industri paling pantas berkembang di negara ini, wujud kebimbangan ia tidak akan mempunyai pekerja yang mencukupi akibat jurang perbezaan gaji.
Perbezaan gaji antara jawatan paling rendah dan staf senior dalam syarikat IT tempatan mungkin menyebabkan pelajar enggan mengambil jurusan sains komputer, sementara mereka yang menamatkan pelajaran dalam bidang itu memilih bekerja di Singapura, Australia dan United Kingdom yang menawarkan gaji lebih tinggi, kata Pikom.
Jurang gaji antara jawatan untuk pekerja baharu, eksekutif junior, eksekutif, pengurus dan pengurus kanan berkembang sepanjang 12 tahun lalu sejak Pikom memulakan penyelidikan pasaran kerja IT.
Menurut laporan 2019 itu, nisbahnya berkembang daripada 2.64 pada 2009 kepada 3.01 pada 2018.
“Penghijrahan tenaga mahir akan menjadi isu kerana masalah jurang gaji ini,” kata Ketua Penyelidikan dan Penerbitan Pikom Woon Tai Hai.
“Jurang gaji antara jawatan sentiasa akan ada tetapi jika ia terlalu tinggi dan isu itu tidak diselesaikan, mungkin ramai ibu bapa tidak mahu anak mereka mengambil jurusan sains komputer.
“Saya ingat lagi beberapa tahun lalu kerajaan memaklumkan kepada kami dan mendedahkan bahawa universiti mengeluarkan kira-kira 60,000 graduan untuk industri IT.
“Sekarang saya percaya jumlahnya separuh daripada itu,” kata Woon, menambah industri ini sudah pun berdepan masalah kekurangan tenaga mahir yang serius.

Menurut laporan kerja IT 2019 Pikom, purata gaji bulanan untuk jawatan pekerja baharu RM3,080 pada 2018. Bagi eksekutif junior purata gaji RM4,458, eksekutif senior RM7,469, pengurus RM11,888 dan pengurus kanan RM20,521.
Purata gaji bulanan bagi jawatan terendah dalam industri itu naik 4.1% pada 2018 berbanding tahun sebelumnya, sementara gaji pengurus kanan meningkat 7.2%.
Woon berkata jika industri ini tidak menangani masalah itu dengan cepat, Malaysia akan kehilangan tenaga mahir IT ke negara seperti Singapura dan Australia.
“Ini masalah yang berlarutan sejak 10 hingga 15 tahun lalu. Dulu, graduan dari Australia yang pulang ke Malaysia hanya dapat gaji RM600 sebulan. Jika mereka terus berada di Australia, gaji mereka A$1,000,” katanya.
Satu lagi faktor yang menyumbang kepada masalah itu ialah syarikat sering terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk melatih semula graduan baharu, kata Pengerusi Pikom Ganesh Kumar Bangah.
“Kerana perubahan teknologi yang pantas, kami dapati kemahiran graduan ketinggalan selepas mereka tamat pengajian. Jadi syarikat terpaksa keluarkan belanja untuk memberi latihan baharu kepada mereka.”
Walaupun gaji permulaan untuk graduan lebih rendah berbanding senior, gaji mereka akan naik seiring dengan pertumbuhan industri, kata Ganesh.
Woon senada dengan kenyataan itu, berkata syarikat tempatan perlu memberikan lebih kenaikan gaji dan manfaat antara jawatan pekerja baharu dan eksekutif untuk menarik lebih ramai graduan.
“Jika anda hanya beri kenaikan kepada pekerja berjawatan paling rendah, ia akan memberi kesan pada hierarki dan anda terpaksa naikkan gaji di semua peringkat. Ini masalah besar untuk ekosistem IT secara keseluruhan,” kata Woon.
“Lebih baik berikan kenaikan yang berpatutan, latihan dan sokongan kerjaya bila mereka naik satu demi satu peringkat itu.” – 29 Mei, 2019.
Komen