Lantik segera pengerusi Suhakam baharu, kata Anwar


Nabihah Hamid

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Dewan Rakyat Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu membuat pelantikan segera jawatan pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang kosong sejak April lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2019

KERAJAAN perlu membuat pelantikan segera jawatan pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang kosong sejak April lalu, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Dewan Rakyat itu bagaimanapun berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang calon untuk dicadangkan.

“Kami tiada calon. Kami hanya cadangkan kerajaan mempercepatkan pelantikan Suhakam kerana ia tertakluk dalam akta suhakam yang mereka seharusnya menasihati kerajaan dalam isu hak asasi,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus di parlimen hari ini. 

Razali Ismail melepaskan jawatannya pada April lalu selepas tiga tahun menjadi pengerusi. 

Mesyuarat yang melibatkan anggota Kaukus daripada pelbagai parti antaranya Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman dan Ahli Parlimen Padang Rengas yang bermesyuarat bersama beberapa NGO hak asasi bagi membincang kes-kes dan aduan yang berlaku dalam negara.

Sementara itu Senator Dewan Negara Yusmadi Yusoff berkata perlantikan segera jawatan tersebut boleh memantapkan institusi yang berperanan menasihati kerajaan. 

“Banyak NGO datang membentangkan isu hak asasi dan cadangan yang berkaitan wanita, kanak-kanak dan sebagainya. Jadi perlunya institusi Suhakam ini dimantapkan. 

“Dibawah Akta Suhakam seksyen 4, diperuntukan Suhakam menjadi penasihat kepada kerajaan malaysia mengenai hal ehwal hak asasi manusia,” katanya yang mewakili dewan negara hadir pada mesyuarat sama. 

Tambahnya calon yang dipilih kerajaan perlulah berintegriti dan komited untuk menyelesaikan isu-isu hak asasi secara menyeluruh.

“Kerajaan perlu memantapkan peranan Suhakam yang telah diluluskan parlimen kerana peranan tersebut kurang terserlah dulu pada zaman BN atas kekangan. 

“Kepimpinan Suhakam tengah kosong adalah baik supaya pengerusi yang dilantik dicepatkan dan dipilih di kalangan orang yang komited mana di terima baik kalangan hak asasi,” katanya. – 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen