SEKURANG-KURANGNYA enam orang maut manakala yang lain jatuh sakit selepas minum arak tiruan di negeri Uttar Pradesh yang terletak di utara India, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis hari ini.
Insiden itu berlaku di kawasan Ramnagar dalam daerah Barabanki, kira-kira 58 kilometer di timur Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.
“Setakat ini kami menerima maklumat mengenai kematian enam orang akibat pengambilan arak tiruan dan ramai lagi yang dimasukkan ke hospital,” kata seorang pegawai kanan polis yang ditempatkan di balai polis Ramnagar kepada Xinhua.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan jumlah kematian adalah kira-kira 12.
Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath telah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi takziah atas kematian yang berlaku di Barabanki dan mengarahkan para pegawai segera bergegas ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan perubatan kepada mereka yang terjejas.
Ketua menteri itu telah meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam pembuatan dan penjualan arak tiruan.
Beliau turut mengarahkan setiausaha utama untuk segera menyiasat insiden itu dan mengambil tindakan tegas.
Laporan menyebut penduduk tempatan membeli arak itu dari sebuah kedai eksais dan meminumnya sebelum mereka mengadu mual serta pening kepala. – Bernama, 28 Mei, 2019
Komen