JUMLAH warga asing yang menetap di Korea Selatan meningkat hampir sembilan peratus tahun lepas begitu juga dengan bilangan pekerja asing haram iaitu sebanyak 15 peratus, lapor agensi berita Yonhap memetik data kerajaan pada Selasa.
Menurut data yang dikeluarkan Kementerian Kehakiman, sejumlah 2,367,607 warga asing menetap di negara itu setakat 2018 menyaksikan peningkatan sebanyak 8.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Akibatnya, jumlah warga asing termasuk penghuni jangka pendek dalam populasi negara itu meningkat kepada 4.57 peratus tahun lepas berbanding 3.5 peratus pada 2014.
Dengan kata lain, antara empat hingga lima orang daripada 100 penduduk di Korea Selatan adalah warga asing.
Berdasarkan kerakyatan, warga China termasuk etnik Korea masih membentuk kumpulan terbesar warga asing yang menyumbang sebanyak 45.2 peratus atau 1,070,566 orang daripada populasi asing, menurut kementerian itu.
Menyusuli adalah warga Thailand dengan 197,764 orang (8.4 peratus) diikuti Vietnam (196,633 orang/8.3 peratus), Amerika (151,018 orang/6.4 peratus), Uzbekistan (68,433 orang/2.9 peratus) dan Jepun (60,878 orang/2.6 peratus).
Kementerian itu menyatakan bahawa jumlah penuntut asing yang belajar di Korea Selatan meningkat sebanyak 18.9 peratus tahun ke tahun kepada 160,671 orang pada akhir tahun lepas.
Kadar populasi asing yang menetap secara haram turut meningkat daripada 11.5 peratus kepada 15 peratus dalam tempoh 2017 hingga 2018. – Bernama, 28 Mei, 2019.
Komen