TIDAK ada masalah dengan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir yang tidak berjabat tangan dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Tidak ada apa-apa. Kadang-kadang orang terlepas pandang seseorang tidak bermakna mereka memboikot orang itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Bersatu di Petaling Jaya hari ini.
Khamis lalu, Mukhriz tidak bersalam dengan Sultan Johor di Istana Abu Bakar di Pekan ketika orang ramai berkumpul memberi penghormatan terakhir kepada bekas Sultan Pahang Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah.
Klip video yang menjadi viral memaparkan Mukhriz kelihatan sengaja tidak berjabat tangan dengan sultan Johor dan anaknya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Mukhriz bagaimanapun memohon maaf atas tindakannya itu pada Sabtu lalu dengan menghantar surat permohonan maaf kepada sultan Johor.
Dalam surat berkenaan, beliau mengakui tindakan itu disebabkan kecuaian.
“Kesilapan ini tidak mencerminkan sifat sopan orang Kedah,” tulis Mukhriz. – 28 Mei, 2019.
Komen